Paras Empangan Bukit Merah kritikal, bekalan air sawah dicatu

Keadaan semasa Empangan Bukit Merah yang tular dikongsi di media sosial. - Foto media sosial
Keadaan semasa Empangan Bukit Merah yang tular dikongsi di media sosial. - Foto media sosial
A
A
A

IPOH - Paras air di Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal susulan musim kering berpanjangan yang melanda negeri Perak sekali gus memaksa pelaksanaan catuan bekalan air ke kawasan sawah di Rancangan Pengairan Kerian.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, sehingga Isnin paras air empangan itu mencatatkan bacaan 6.29 meter yang masih berada dalam Aras Kritikal Pengairan Tahap 3 meskipun berlaku hujan lebat pada 13 Julai.

Menurutnya, sebelum itu, paras air empangan tersebut mencatatkan penyusutan drastik daripada 7.01 meter pada 26 Jun kepada 6.40 meter setakat 8 Julai dan berisiko mencecah paras henti bekalan pengairan iaitu 6.10 meter jika hujan tidak turun menjelang pertengahan bulan ini.

“Bekalan air ke Rancangan Pengairan Kerian telah mula dicatu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kelangsungan bekalan sehingga musim hujan kembali stabil.

"Bagaimanapun, bekalan air domestik masih dikekalkan agar tidak menjejaskan keperluan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohammad Nizar berkata, Empangan Bukit Merah merupakan sumber utama air mentah bagi lebih 220 juta liter sehari kepada Lembaga Air Perak (LAP) dan menyokong keperluan pertanian bagi lebih 22,000 hektar sawah padi yang menjadi sebahagian jelapang padi ketiga terbesar negara.

Menurutnya, kira-kira 70 peratus air empangan digunakan bagi keperluan pengairan dan domestik manakala selebihnya diperoleh daripada hujan (15 peratus) dan rumah pam utama seperti Rumah Pam Kerian dan Padang Lalang (15 peratus).

Jelasnya, antara langkah segera yang telah dilaksanakan termasuk penggunaan sumber air alternatif seperti rumah pam kecil, pam bergerak dan tiub telaga yang beroperasi di beberapa kawasan sekitar Kerian bagi membantu petani mengepam air ke sawah masing-masing.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan permohonan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) juga telah dikemukakan oleh JPS Perak kepada kerajaan negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menangani krisis kekurangan air yang kian meruncing.

Artikel Berkaitan:

"Selain tindakan jangka pendek, kerajaan turut melaksanakan projek jangka sederhana dan panjang termasuk menaik taraf struktur empangan melalui projek reka dan bina yang bermula Januari 2024 dan dijangka siap pada Januari 2027.

"Satu lagi projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah turut akan dilaksanakan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kapasiti 1,500 juta liter sehari, termasuk 500 juta liter khusus untuk pengairan Rancangan Pengairan Kerian," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru semua pihak terlibat, khususnya petani agar terus berhemah dalam menggunakan air dan mematuhi pelan catuan yang ditetapkan demi menjamin kelangsungan bekalan sepanjang musim kering ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!