Paras Empangan Bukit Merah kritikal, pembenihan awan diusahakan - Mohamad Sabu

Laporan Sinar Harian mengenai paras air di Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal susulan musim kering berpanjangan yang melanda Perak.
Laporan Sinar Harian mengenai paras air di Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal susulan musim kering berpanjangan yang melanda Perak.
A
A
A

PASIR SALAK - Pelaksanaan pembenihan awan akan diusahakan susulan penurunan kritikal paras air di Empangan Bukit Merah yang membekalkan air kepada kawasan pertanian utama di Lembah Kerian dan Selatan Seberang Perai.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha pembenihan awan bukan kali pertama dilakukan, namun penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu memerlukan projek besar berkaitan pemindahan air.

“Pembenihan awan kita usahakan, malah sebelum ini pun kita sudah buat. Tetapi kita tahu, soal takungan air itu lebih penting. Sebab itu kita sedang laksanakan projek bernilai berbilion ringgit ke arah pemindahan air ke kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Mohamad berkata, projek besar penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang turut diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, kini sedang memasuki fasa pelaksanaan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Sekarang kita sedang masuk ke fasa rundingan pelaksanaan dengan SPAN. Insya-Allah sekitar bulan Ogos ini," jelasnya.

Projek berkenaan dijangka mampu menyelesaikan isu jangka panjang berkaitan keterjaminan bekalan air khususnya bagi sektor pertanian di Lembah Kerian yang merupakan antara kawasan jelapang padi penting di utara Semenanjung.

Sinar Harian melaporkan, paras air di Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal susulan musim kering berpanjangan yang melanda negeri Perak sekali gus memaksa pelaksanaan catuan bekalan air ke kawasan sawah di Rancangan Pengairan Kerian.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga Isnin paras air empangan itu mencatatkan bacaan 6.29 meter yang masih berada dalam Aras Kritikal Pengairan Tahap 3 meskipun berlaku hujan lebat pada 13 Julai.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!