SADA, sembilan operator bekalan air negeri kemuka usul semakan tarif

ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) bersama operator bekalan air terawat di sembilan negeri mengemukakan usul kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyemak semula kadar tarif air sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Radzuan Osman berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan air terawat dapat terus disalurkan tanpa terjejas atas dasar meletakkan kepentingan pengguna sebagai keutamaan.
Menurutnya, kajian yang mendalam telah dilakukan untuk memastikan keputusan semakan kadar tarif berkenaan tidak membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.
"Tujuan permohonan semakan ini bukanlah bermotif keuntungan melainkan untuk memastikan SADA memiliki dana mencukupi untuk kelangsungan operasi dan memenuhi keperluan masyarakat dalam tempoh jangka masa panjang.
"Langkah ini juga mencerminkan komitmen bersama kerajaan negeri dan persekutuan dalam menyelesaikan isu berkaitan masalah air demi kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dalam masa sama berharap agar semakan itu diluluskan oleh kerajaan sekali gus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.
"Sebagai sebuah entiti milik kerajaan negeri, SADA meletakkan tanggungjawab sosial sebagai teras utama dalam melaksanakan fungsi selaku operator perkhidmatan bekalan air terawat di Negeri Kedah," katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa pendapatan yang diperolehi daripada kutipan bil utiliti bukanlah semata-mata meraih keuntungan perniagaan sebaliknya untuk memastikan SADA mempunyai dana mencukupi agar terus beroperasi serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa gangguan modal dan kos.
"Bagaimanapun, kenaikan kos operasi adalah satu perkara yang tidak dapat dielak terutama untuk melaksanakan kerja membaik pulih dan menaik taraf kelengkapan infrastruktur yang sudah terlalu lama.
"Kos yang sangat tinggi diperlukan untuk menggantikan sistem paip yang uzur di mana keadaan ini sering menjadi halangan kepada SADA dan juga syarikat operator lain memberi perkhidmatan yang cekap, terbaik dan berkesan," katanya.
Radzuan berkata, paip-paip lama jika terus digunakan akan meningkatkan risiko berlakunya gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di premis pengguna yang berpunca daripada kebocoran paip.
Jelas beliau, ia juga sebagai memenuhi kehendak kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bawah Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR) yang menekankan keperluan mengukuhkan struktur kewangan syarikat pengendali bekalan air.
Ia bertujuan menjamin kecekapan perkhidmatan kepada pengguna dalam usaha mencapai sasaran mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 10
peratus menjelang tahun 2040, tambahnya.
End
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

