[VIDEO] Bangkai helikopter PDRM dijangka dinaikkan dalam masa terdekat – Komander PGU
JOHOR BAHRU – Bangkai helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah pada Khamis lalu dijangka akan dinaikkan dalam masa terdekat.
Komander PGU Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Noor Sham Md Jani berkata, operasi berkenaan akan melibatkan bantuan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menurutnya, proses menimbulkan helikopter itu penting bagi membolehkan pasukan siasatan menjalankan analisis lanjut mengenai punca kejadian.
“Insya-ALLAH, dengan adanya bantuan dari agensi ini, proses menaikkan bangkai helikopter akan dapat dilakukan dengan lebih cepat, mungkin seawal esok atau lusa.
“Proses ini penting bagi membantu pasukan penyiasat PDRM menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan,” katanya kepada pemberita.
Noor Sham berkata demikian ketika melawat kesemua mangsa tragedi berkenaan di Hospital Sultanah Aminah di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai dakwaan wujudnya kotak hitam dalam helikopter tersebut, Noor Sham menjelaskan bahawa pesawat jenis AS355 itu tidak dilengkapi dengan kotak hitam seperti pesawat komersial.
“Sebenarnya, tiada kotak hitam dalam helikopter ini, sebaliknya apa yang dimaksudkan adalah alat komunikasi yang merekod interaksi antara juruterbang dan anggota yang bertugas di bahagian bawah.
“Peralatan itu akan membantu kita untuk mengetahui dengan lebih jelas apa yang berlaku semasa kejadian.
"Setakat ini tiada sebarang insiden baharu berlaku dan fokus kini tertumpu kepada operasi menaikkan helikopter yang dipercayai berada di dasar,” katanya.
Khamis lalu, sebuah helikopter milik PGU PDRM, terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah ketika melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (Mitsatom 2025).
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang sebelum terhempas di lokasi.
Sementara itu, Noor Sham berkata, pihaknya sangat berharap agar kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan segera pulih sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
