Helikopter PDRM terhempas: Siasatan menyeluruh dijalankan BSKU

Helikopter PDRM ketika melakukan simulasi lintas hormat sempena program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025) sebelum terlibat dalam kemalangan berhampiran Sungai Pulai di sini hari ini. Foto Bernama
Helikopter PDRM ketika melakukan simulasi lintas hormat sempena program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025) sebelum terlibat dalam kemalangan berhampiran Sungai Pulai di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan menyeluruh berkaitan insiden melibatkan helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor pagi Khamis akan dijalankan secara menyeluruh.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan berkaitan insiden itu akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

"Siasatan dijalankan selaras dengan peruntukan Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video insiden yang boleh mengganggu siasatan atau menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota PDRM di dalam helikopter berkenaan ketika kejadian.

"Antara individu terlibat terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota polis termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara PDRM, Bukit Aman dan anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.

"Kesemua mangsa berjaya diselamatkan pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti APMM sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan sebuah helikopter jenis AS355N berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pada Khamis.

CAAM berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dengan lima orang penumpang, termasuk juruterbang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!