Pemandu Hilux terbabit nahas korbankan tiga sekeluarga positif dadah

Seorang kanak-kanak bersama ibu dan neneknya maut dalam kemalangan di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang pada Isnin malam.
Seorang kanak-kanak bersama ibu dan neneknya maut dalam kemalangan di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang pada Isnin malam.
A
A
A

BATU GAJAH – Pemandu kenderaan Toyota Hilux yang bertembung dengan Perodua Myvi sehingga mengorbankan tiga sekeluarga di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang di sini pada Isnin malam didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohamad berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit positif dadah jenis tetrahidrokannabinol (THC).

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. Pemandu Toyota Hilux berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Mengulas mengenai nahas itu beliau berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 9.50 malam itu, Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 27 tahun terbabit dalam perjalanan dari Kampar ke Bemban.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux tersebut dipercayai memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, pemandu Myvi berusia 34 tahun serta penumpang wanita berusia 65 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

“Seorang lagi penumpang, iaitu kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Batu Gajah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemandu Hilux hanya mengalami kecederaan ringan melibatkan sakit pada lutut serta tangan kiri dan kanan.

Md Noor Aehawan berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak bersama ibu dan neneknya maut dalam kejadian itu.

Mangsa, S Sarala Devi, 34, dan G Sarasbathy, 65, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam Perodua Myvi, manakala S Shaastikka, 3, meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

Ringkasan AI

  • Pemandu Toyota Hilux terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Batu Gajah positif dadah
  • Kemalangan berlaku kira-kira jam 9.50 malam, dipercayai akibat Hilux memotong kenderaan lain
  • Pemandu Myvi dan penumpang berusia 34 dan 65 tahun maut di lokasi kejadian
  • Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia di hospital
  • Pemandu Hilux didapati positif THC dan ditahan untuk siasatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!