[VIDEO] Bapa terkejut anak terlibat nahas helikopter
JOHOR BAHRU – “Saya baru sahaja terima panggilan, dia beritahu nak naik helikopter untuk latihan tapi tak lama lepas itu saya dapat tahu helikopter terhempas, memang terkejut.”
Itu reaksi Baharom Mohammed, 82, bapa kepada Superintenden Ahmad Bustamin Baharom, 43, pembantu juruterbang helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025).

Bagaimanapun, Baharom yang baru tiba dari Alor Setar malam tadi berkata, dia bersyukur kerana keadaan anaknya stabil biarpun mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Malah katanya, anaknya itu merupakan individu pertama yang berjaya keluar dari helikopter manakala penumpang lain dilaporkan pengsan setelah terhempas.
“Dia kata, okey. Kaki patah tapi masih boleh bercakap.
“Lagipun, dia sedar semasa kejadian dan dia pakai topi keledar, itu yang selamatkan dia. Seorang lagi penumpang terpelanting keluar,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada Jumaat.
Untuk rekod, Ahmad Bustamin yang merupakan anak kedua daripada lima beradik dan berasal dari Alor Setar itu telah berkhidmat dengan PDRM sejak tahun 2005.
Difahamkan, bapa kepada dua orang anak berusia antara 9 hingga 16 tahun itu kini ditemani oleh isteri dan anak sulungnya.
Pada Khamis, helikopter jenis AS355N milik PDRM dengan nombor pendaftaran 9M-PHG dilaporkan terhempas berhampiran Jeti APMM, Gelang Patah, ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) yang melibatkan empat negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang sebelum terhempas.
Ahmad Bustamin dilaporkan mengalami kecederaan patah kaki namun berada dalam keadaan sedar dan stabil.
Setakat jam 11 pagi Jumaat, Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan telah melawat kesemua mangsa yang sedang dirawat di HSA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
