[VIDEO] 'Helikopter PDRM terhempas depan mata ketika buat liputan' – Wartawan

A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Dua wartawan yang berada di lokasi kejadian ketika sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah pagi Khamis berkongsi detik cemas menyaksikan insiden tersebut yang disifatkan sebagai pengalaman tidak dapat dilupakan.

Muhammad Aiman Hakeem Awazmin, 27, berkata, ketika kejadian, beliau sedang bertugas membuat liputan latihan amal pelbagai hala sekuriti nuklear Malaysia- Indonesia- Thailand dan Singapura MITSATOM 2025 di Jeti Maritim Sungai Pulai, Maritim Malaysia.

Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah pagi Khamis
Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah pagi Khamis

"Sampai sekarang saya masih terbayang-bayang bagaimana helikopter tu jatuh menjunam ke dalam sungai. Ia betul-betul berlaku depan mata,” katanya.

Menurut Aiman, detik cemas itu seakan mengimbau semula pengalaman dua tahun lalu ketika beliau pertama kali menaiki helikopter jenis sama bagi membuat liputan media.

“Saya pernah naik helikopter jenis sama masa tugasan liputan banjir dua tahun lepas di Kluang.

"Apabila tengok helikopter itu terus menjunam dan jatuh ke air, perasaan bercampur baur dan trauma.

"Insiden kali ini merupakan antara pengalaman paling menakutkan sepanjang bergelar wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM)" ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Aiman Hakeem Awazmin
Muhammad Aiman Hakeem Awazmin

Seorang lagi wartawan, Nur Fadhliana Shaari, 41, sedih dan risau memikirkan keselamatan kesemua kru helikopter terlibat selepas dimaklumkan dua daripada lima mangsa berada dalam keadaan kritikal.

“Kita tengok sendiri bagaimana insiden membabitkan helikopter itu berlaku.

"Kita tahu mereka semua terlatih, tapi bila dapat tahu dua orang kritikal, rasa sedih dan harap kejadian macam ni tak berlaku lagi,” katanya yang juga wartawan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama).

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!