Anak beli keranda untuk ibu masih hidup

CHANGDE – Seorang lelaki di wilayah Hunan, selatan China, mencetuskan perbualan hangat dalam talian selepas membeli sebuah keranda untuk ibunya yang berusia lebih 70 tahun dan menyewakan 16 pengusung untuk membawa wanita itu pulang dalam satu perarakan tradisional luar biasa.
South China Morning Post melaporkan, lelaki dari Pekan Shuangxikou, Daerah Taoyuan itu dipercayai mengamalkan ritual masyarakat luar bandar sebagai lambang kesetiaan seorang anak dan untuk mendoakan ibunya panjang umur serta sejahtera.
Rakaman video tular memaparkan ibunya duduk ceria di dalam keranda sambil memegang kipas, lengkap dengan payung diiringi pasukan alat muzik dan orang ramai dalam suasana seakan perayaan.
Selepas tiba di rumah, keluarga itu mengadakan upacara pembakaran kemenyan dan persembahan korban sebagai pelengkap ritual tersebut.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Tang berkata kepada stesen TV Guizhou bahawa beliau pernah menyaksikan upacara seperti itu beberapa kali.
“Tujuannya adalah untuk menunjukkan bakti kepada ibu bapa. Ia adalah tradisi luar bandar dan biasanya disambut gembira oleh orang tua, walaupun tidak begitu lazim sekarang,” katanya.
Dalam budaya masyarakat China, keranda dianggap membawa tuah kerana perkataan guancai (keranda) berbunyi hampir sama dengan maksud "kekayaan rasmi".
Tang menjelaskan bahawa membenarkan orang tua duduk dalam keranda ketika masih hidup dipercayai membawa keberkatan, umur panjang dan ketenangan.
“Ia sekadar untuk menggembirakan ibu. Membeli keranda untuknya ialah simbolik memohon keberkatan hidup yang panjang dan diberkati,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan keseluruhan majlis termasuk bayaran pengusung, pemain alat muzik dan jamuan tetamu menelan belanja sekitar 20,000 yuan (RM13,700).
Di banyak kawasan luar bandar China, warga emas yang mencecah usia 70 tahun lazimnya akan menyediakan keranda sendiri dan menyimpannya di rumah sebagai persediaan hari tua.
Majlis seumpama ini dikenali sebagai xisang atau "pengebumian untuk yang masih hidup", menggambarkan sikap damai serta menerima hakikat kematian dalam budaya masyarakat berkenaan.
Secara tradisionalnya, keranda diusung oleh lapan atau 16 orang yang dikenali sebagai “Lapan Makhluk Abadi” atau “Lapan Vajra Hebat” dan dilarang sama sekali menyentuh tanah sepanjang perjalanan.
Ritual luar biasa ini mencetuskan pelbagai reaksi warganet.
“Pertama kali saya lihat orang hidup diusung dalam keranda. Semoga beliau hidup sampai 100 tahun!” kata seorang pengguna media sosial. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
