Anak dituduh bunuh, bakar ibu diperintah periksa mental

Tertuduh diiringi anggota dan pegawai polis semasa dituduh di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Ahad.
Tertuduh diiringi anggota dan pegawai polis semasa dituduh di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pengawal keselamatan yang didakwa membunuh dan membakar ibunya pada minggu lepas diarahkan dihantar ke Hospital Ulu Kinta, Perak pada 11 Mac ini bagi tujuan pemeriksaan psikiatri.

Tertuduh, Abd Rahman Harun, 43, yang mempunyai rekod sakit mental hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret, di sini pada Ahad.

Pertuduhan tersebut dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membunuh Isah Salleh, 70, di rumah mereka di Kampung Bok-Bok, Derga, antara jam 7 hingga 8 pagi pada 2 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Semasa proses prosiding, Nur Huda memberitahu mahkamah bahawa tertuduh adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau memohon agar tertuduh dihantar menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dan tertuduh akan dihantar ke Hospital Hulu Kinta, Perak, untuk pemeriksaan pada 11 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Tiada jaminan dibenarkan bagi kesalahan itu dan Mahkamah juga menetapkan 10 April depan untuk keputusan laporan penilaian psikiatri.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, pada 2 Mac lalu.

Mangsa berusia 68 tahun, dipercayai dibunuh oleh anak kandungnya sendiri dalam satu kejadian amuk sekali gus mengejutkan penduduk setempat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, polis menerima panggilan kecemasan MERS999 pada jam 7.48 pagi, melaporkan seorang lelaki mengamuk di kediaman berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!