'Anak saya memang aktif', ibu kongsi detik cemas kaki sangkut di kerusi

Kaki kanak-kanak berusia 4 tahun tersangkut di kerusi selepas selesai makan tengah hari di Tabika Kemas.
Kaki kanak-kanak berusia 4 tahun tersangkut di kerusi selepas selesai makan tengah hari di Tabika Kemas.
A
A
A

SHAH ALAM - "Dia memang aktif, di rumah pernah kepalanya tersepit di pagar beranda dan kali ini kaki pula tersangkut di kerusi sekolah," kata ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang berdepan detik cemas di sebuah Tabika Kemas.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Amira Abdul Aziz, 31, berkata, kejadian tersebut berlaku pada waktu tengah hari selepas anak tunggalnya selesai makan bersama rakan-rakan di dalam kelas.

Menurut Amira, kaki anaknya tersangkut selama beberapa minit sebelum guru berjaya mengeluarkannya tanpa sebarang kecederaan.

No Image Caption

“Anak saya memang jenis aktif dan suka mencuba benda baru. Masa di sekolah, kawan dia yang mula perasan kaki anak saya tersepit dan segera memanggil cikgu untuk membantu.

"Cikgu beritahu saya masa itu semua orang panik sebab tidak pernah lagi kejadian macam ini berlaku. Nasib baik kaki dia berjaya dikeluarkan, kalau tidak cikgu kata mereka akan panggil bomba,” jelasnya.

Walaupun insiden itu mencemaskan, Amira berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang rasa takut atau kesakitan semasa kejadian sepertimana yang dipaparkan di video yang tular baru-baru ini.

“Dia buat muka tak bersalah macam tiada apa-apa berlaku. Pada hari kejadian, selepas dia pulang ke rumah saya ada tanya bagaimana dengan sekolah, jawapannya dia baik dan diam sahaja ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

"Saya tunjuk video yang dihantar oleh guru itu dan dia ketawa. Katanya tidak tahu bagaimana kaki boleh tersangkut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi kejadian kepala anak tersangkut setahun yang lalu, Amira memberitahu, sehingga sekarang peristiwa tersebut tidak dapat dilupakan.

"Masa itu dia cuba ambil barang yang jatuh dan kepala dia tersangkut, nasib baik saya ada di rumah. Syukur tiada kecederaan, selepas kejadian itu saya lebih peka sebab tahu dia jenis tidak duduk diam dan suka mencuba sesuatu yang baharu.

"Memang takut sangat tetapi sekarang jadi kelakar bila ingat balik. Sebab itu masa cikgu hantar video kaki dia sangkut kerusi saya tidak terlampau gelabah," ujarnya.

Tambah Amira, meskipun anaknya sangat aktif di rumah namun dia bersikap berbeza ketika di sekolah.

“Di sekolah, dia lebih pendiam dan suka ikut arahan cikgu. Tapi di rumah, lain pula perangainya ada saja benda yang dia nak cuba,” ujarnya.

Sementara itu, Amira turut berterima kasih kepada guru-guru di tabika yang cepat bertindak membantu anaknya ketika insiden itu berlaku.

“Kalau tak kerana perhatian kawan dan tindakan pantas cikgu, mungkin keadaan jadi lebih teruk. Saya sangat menghargai usaha mereka,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!