RISDA cadang inisiatif industri halal bersama Johor

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid pada Jumaat.
Sesi kunjung terima diketuai oleh Pengerusinya, Manndzri Nasib di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur.
RISDA dalam satu kenyataan berkata, pelbagai perkara telah dibincangkan untuk meneroka peluang strategik yang boleh dilaksanakan secara kolaborasi dan mampu memberikan manfaat kepada seluruh pihak berkepentingan, terutamanya rakyat Johor termasuk komuniti pekebun kecil getah.
Menurutnya, sebagai usaha memperkasakan taraf hidup pekebun kecil, RISDA memberi tumpuan kepada inisiatif halal yang berpotensi melonjakkan nilai produk berasaskan getah ke pasaran global.
“Melalui kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Johor, pelaksanaan inisiatif ini akan diperhalusi selaras dengan hala tuju Pelan Induk Industri Halal 2030.
“Dengan nilai industri halal Malaysia mencecah RM146.6 bilion pada 2024, negara terus mengukuh kedudukan sebagai peneraju global, mencerminkan usaha kerajaan di bawah pelan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Md Najip Ishak; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Nasri Md Ali dan Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Hasrin Kamal Hashim.

Delegasi kunjung hormat turut dibawa ke salah sebuah outlet RisSMart24 untuk melihat sendiri pengoperasiannya di Ampang, Selangor.
Mengulas lanjut, menurut RISDA, bagi memperluas peluang perniagaan peruncitan, outlet RisSMART telah ditubuhkan di beberapa tempat untuk mengenal pasti ruang perniagaan baharu.
Tambahnya, setakat ini, terdapat 11 outlet kedai serbaneka RisSMART24 dan tiga RisSMART Butchery dengan konsep jualan daging mentah di sekitar Lembah Klang.
“RISDA juga sedang mengenalpasti keupayaan RisSMART24 dan RisSMART Butchery untuk diperluaskan di seluruh negara.
“Ini termasuklah di negeri Johor dalam memastikan outlet tersebut mampu menjadi hab strategik untuk memasarkan produk-produk usahawan RISDA dengan lebih meluas,” ujarnya.
Dalam pada itu, RISDA berkata, selain inisiatif halal, perbincangan turut merangkumi Program Tanam Getah Berskala Besar (TGBB) yang memerlukan kerjasama kerajaan negeri di seluruh Malaysia, termasuk Johor bagi pembukaan ladang getah secara sistematik.
“RISDA juga bersedia menjalin kerjasama dengan agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari aspek logistik, promosi dan penyertaan,” ulasnya.
Jelasnya, dalam aspek pembangunan modal insan, RISDA melalui Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menawarkan latihan kemahiran dan keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak pekebun kecil lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk peluang latihan di China.
Sementara itu, menurut Manndzri, beliau optimis dengan kerjasama strategik RISDA dan Kerajaan Negeri Johor untuk memperkukuh ekonomi pekebun kecil serta memudahkan capaian kepada peluang pembangunan lebih sistematik.
“Turut dibincangkan ialah pelaksanaan program zakat secara bersasar melalui sinergi bersama Majlis Agama Islam Johor demi kebajikan dan pendidikan asnaf pekebun kecil,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
