RISDA sumbang zakat RM312,860 untuk Johor

BATU PAHAT - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyalurkan sumbangan zakat bernilai RM312,860 kepada Johor hasil daripada keuntungan operasi ladang miliknya tahun ini.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, penyerahan itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM6.41 juta zakat keuntungan operasi ladang RISDA di seluruh negara yang diuruskan anak syarikatnya, RISDA Estates Sdn Bhd (RESB).
“Ia merupakan inisiatif RISDA di bawah komitmen sumbangan sosialdan zakat melalui Program Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) 2024 yang melibatkan operasi dua ladang RISDA di Johor iaitu Ladang RISDA Sungai Chales, Kluang dan Ladang RISDA Ulu Sedili, Kota Tinggi.
“Sumbangan ini dikira berdasarkan keuntungan operasi efisien RISDA di seluruh ladang miliknya yang diurus RESB bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan kembali kepada komuniti secara maksimum,” katanya.
Sumbangan zakat itu diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dalam Majlis Serahan Zakat dan Kurniaan Sumbangan Bantuan serta Iftar Jamaie bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Sabtu lalu.
Cek cura sumbangan tersebut diserahkan oleh Manndzri dalam majlis yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat.
Majlis turut dihadiri Yang Mulia Che Puan Mahkota Khaleeda Bustamam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani serta ketua agensi negeri yang terlibat.
“RISDA berharap sumbangan yang disalurkan kepada MAINJ ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan komuniti, khususnya bagi golongan asnaf menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
"Program RTBB merupakan inisiatif pembangunan ladang RISDA yang dikendalikan RESB sejak 1974.
“Ia adalah salah satu strategi pembangunan tanah berskala besar RISDA bagi menjana pulangan mampan kepada peserta yang terdiri daripada pekebun kecil,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

