Peniaga ayam berjuang demi nasib kucing jalanan

Suhaya (kanan) bersama Fazli dengan kucing-kucing yang terdapat di Pasar Awam Temerloh. - FOTO: SINAR HARIAN, gambar kecil dari kiri: Zainudin, Maisarah
Suhaya (kanan) bersama Fazli dengan kucing-kucing yang terdapat di Pasar Awam Temerloh. - FOTO: SINAR HARIAN, gambar kecil dari kiri: Zainudin, Maisarah
A
A
A

TEMERLOH – “Setiap minggu boleh dikatakan ada sahaja orang membuang kucing di sini, termasuk yang belum membuka mata.”

Demikian kata peniaga ayam, Zainudin Ismail, 56, di Pasar Awam Temerloh yang berdepan dengan situasi pembuangan kucing di lokasi tersebut.

Menurutnya, atas rasa simpati terhadap nasib kucing-kucing jalanan, dia turut menyediakan makanan sendiri untuk diagihkan di pasar berkenaan.

“Setiap hari saya sediakan makanan kering dan basah kerana kasihan melihat kucing-kucing yang kelaparan.

“Memang sedih apabila ada yang sanggup membuang, terutamanya anak-anak kucing yang baru lahir dan belum membuka mata, selain melihat banyak yang mati kerana tidak dapat bertahan,” katanya yang telah berniaga di pasar itu sejak 35 tahun lalu.

Simbolik penyerahan sumbangan yang disampaikan oleh Fazli(tiga dari kiri) kepada Suhaya(tiga dari kanan). Foto Sinar Harian
Simbolik penyerahan sumbangan yang disampaikan oleh Fazli(tiga dari kiri) kepada Suhaya(tiga dari kanan). Foto Sinar Harian

Dia berkata demikian ketika ditemui sempena Program Sayangi Kucing, sumbangan Powercat dari Adabi Distribution Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang berlangsung di Pasar Awam Temerloh pada Khamis.

Turut hadir, Ahli Majlis MPT, Suhaya Elly Rosli yang mewakili Yang Dipertua MPT serta Pengurus Adabi, Fazli Che Omar.

Artikel Berkaitan:

Zainudin berkata, program yang dianjurkan di pasar tersebut amat dihargai dan membantu meringankan beban pihak yang prihatin dengan nasib kucing jalanan.

Bagi seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil, Maisarah Nadiah Mohamed Nazri, 19, program itu sangat dialu-alukan oleh pencinta kucing.

Memelihara lebih 30 ekor kucing di rumah, dia menyatakan rasa gembira kerana program tersebut dapat membantu mereka.

Dalam pada itu, Suhaya menyatakan rasa teruja dengan pemilihan Temerloh sebagai lokasi program yang julung kali diadakan, sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat tentang nasib kucing jalanan.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Si Bulus Temerloh memaklumkan, sebanyak 75 beg dan 31 karton produk makanan kucing diagihkan kepada pencinta kucing dan pengunjung pasar, selain aktiviti pemberian makanan kepada haiwan terbabit.

“Program ini bukan untuk menggalakkan orang ramai membuang kucing di pasar, tetapi untuk memberikan kesedaran dan kepekaan terhadap nasib haiwan ini yang memerlukan perhatian kita.

“Selain itu, kami mengalu-alukan mana-mana sukarelawan di pasar ini untuk merujuk kepada kelab bagi mendapatkan kerjasama dan bantuan makanan.

“Program sebegini akan diteruskan di lokasi lain seperti Pasar Awam Mentakab serta lokasi tumpuan pembuangan kucing lain di Temerloh,” tambahnya.

Setakat ini, lebih 50 ekor kucing jalanan telah ditempatkan dan diuruskan oleh kelab itu di Taman Chatin, Mentakab sejak awal tahun ini.

Sementara itu, Fazli memberitahu bahawa program tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan pihaknya tergerak untuk turun padang selepas melihat peningkatan pembuangan kucing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!