21 Orang Asli ditahan disyaki ceroboh tanah milik Sultan Pahang di Rompin

Sekumpulan Orang Asli yang ditahan selepas dipercayai menceroboh dan melakukan kerosakan di kawasan ladang di Rompin pada Isnin.
Sekumpulan Orang Asli yang ditahan selepas dipercayai menceroboh dan melakukan kerosakan di kawasan ladang di Rompin pada Isnin.
A
A
A

ROMPIN- Seramai 21 Orang Asli ditahan selepas dipercayai menceroboh dan melakukan kerosakan di kawasan ladang milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada wakil syarikat dilantik untuk mengusahakan kawasan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dipercayai menceroboh kawasan ladang kelapa sawit seluas kira-kira 718.281 hektar tanpa kebenaran.

“Selain memasuki kawasan tersebut, mereka turut didakwa merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit di ladang milik baginda.

"Kesemua individu yang ditahan di dalam kawasan ladang terbabit berusia antara 26 hingga 60 tahun, terdiri daripada empat lelaki dan 17 perempuan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh harta, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan," jelasnya.

Sehubungan itu, Sharif Shai menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah.

"Kita menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di Negara ini," katanya.

Ringkasan AI

  • Seramai 21 Orang Asli ditahan kerana dipercayai menceroboh dan merosakkan kawasan ladang milik Sultan Pahang
  • Tangkapan dilakukan susulan laporan polis daripada wakil syarikat pengusahawan ladang
  • Kumpulan tersebut dipercayai menceroboh kawasan ladang kelapa sawit seluas kira-kira 718.281 hektar
  • Individu yang ditahan berusia antara 26 hingga 60 tahun, terdiri daripada empat lelaki dan 17 perempuan
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, membabitkan hukuman penjara dan denda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!