Kucing tenang naik motosikal, curi tumpuan netizen

Oma mencuri tumpuan apabila kelihatan tenang dipegang oleh tuannya ketika menaiki motosikal dalam sebuah video yang tular baru-baru ini. Foto TikToK Nurul Syahirah
Oma mencuri tumpuan apabila kelihatan tenang dipegang oleh tuannya ketika menaiki motosikal dalam sebuah video yang tular baru-baru ini. Foto TikToK Nurul Syahirah
A
A
A

SHAH ALAM – Seekor kucing mencuri tumpuan apabila kelihatan tenang dipegang oleh tuannya ketika menaiki motosikal dalam sebuah video yang tular baru-baru ini.

Menurut perkongsian TikTok milik @cikpersonamanis atau nama sebenarnya Nurul Syahirah Arisman, 27, kucing bernama Oma itu sudah terbiasa menaiki motosikal dengan cara sedemikian, malah pernah duduk di atas bahu selama 15 minit ketika dalam perjalanan.

“Untuk duduk di atas bahu, Oma naik dengan orang yang dia percaya sahaja, seperti saya dan tunang saya, iaitu lelaki yang ada dalam video berkenaan.

“Paling lama Oma duduk di atas bahu selama 15 minit. Selepas itu, dia akan masuk semula ke dalam bakul motosikal,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar Nurul Syahirah yang juga penolong pembantu perubatan, dia pernah membawa si bulus itu mengikuti perjalanan sejauh lebih 90 kilometer (km).

“Untuk duduk dalam bakul motosikal, perjalanan paling jauh yang Oma pernah ikut saya dan tunang adalah dari Setapak, Kuala Lumpur ke Port Dickson, Negeri Sembilan,” ujarnya.

Menurutnya, kucing tersebut juga tidak pernah mengalami kecederaan atau terjatuh sepanjang menaiki motosikal.

“Tahun lepas, Oma pernah melompat sekali semasa mula-mula belajar menaiki motosikal kerana terkejut dengan bunyi hon lori.

“Namun sekarang, dia sudah terbiasa. Kalau takut pun, dia akan duduk semula di dalam bakul motosikal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!