'Harga emas turun sikit sahaja, orang tak rasa nak beli'

A
A
A

SEREMBAN - Harga emas yang dilaporkan jatuh susulan pengumuman gencatan senjata antara Iran dan Israel ketika ini tidak begitu menarik minat orang ramai untuk membuat pembelian.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai emas di sini pada Rabu mendapati, harga bagi segram emas 916 ditawarkan sekitar RM440 hingga RM480 berbanding harga pasaran RM500 segram.

Pekerja sebuah kedai emas yang tidak mahu dikenali berkata, penurunan harga tersebut tidak terlalu menarik minat orang ramai datang membeli kerana beranggapan harganya masih tinggi.

Bagaimanapun katanya, ada pelanggan yang telah pun datang membuat tinjauan dan menyatakan hasrat membeli emas dalam kuantiti yang banyak bagi tujuan pelaburan.

"Dia datang tengok harga dulu dan katanya nak tunggu harga jatuh sikit lagi baru beli.

"Kalau saya tengok, pelanggan datang itu ada saja, cumanya ramai yang sekadar cuci mata bukannya beli atau mungkin tak tahu harga emas dah turun," katanya.

Pekerja sebuah kedai emas di Seremban 2 melayan pelanggan yang mahu membeli gelang tangan.
Pekerja sebuah kedai emas di Seremban 2 melayan pelanggan yang mahu membeli gelang tangan.

Bagi pekerja sebuah lagi kedai emas yang mahu dikenali sebagai Zuli, 35 pula berkata, kedainya menawarkan harga promosi RM469 segram sejak empat hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, sesetengah pelanggan masih menganggap harga ditawarkan itu masih tinggi walaupun ketika ini adalah waktu paling sesuai untuk membelinya.

"Bagi pandangan saya kalau harga dah turun itu, ambillah peluang beli sebabnya harga emas memang nak turun itu susah, naik itu senang.

"Cumanya kalau turun itu sikit saja dan sekarang ini trend ramai yang beli bar emas sebab nak nak buat pelaburan," katanya.

Seorang lagi pekerja berkata, harga emas 916 yang ditawarkan di kedainya adalah RM460 segram berbanding harga pasaran RM500.

Namun individu berkenaan memberitahu bahawa dirinya tidak mengetahui harga emas ketika ini dilaporkan jatuh pada paras terendah.

"Harga emas sekarang ini tak menentu dan boleh berubah-ubah setiap hari tapi saya tak tahu pula harga emas tengah turun sekarang," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, harga emas susut sebanyak dua peratus ke paras terendah dalam tempoh lebih dua minggu susulan pengumuman gencatan senjata antara Iran dan Israel yang mengurangkan permintaan terhadap logam berharga sebagai aset selamat.

Emas spot atau semasa jatuh 1.9 peratus kepada AS$3,303.93 (RM13,996.46) seauns, selepas mencecah paras terendah sejak 11 Jun awal sesi tersebut.

Niaga hadapan emas AS pula turun 2.2 peratus kepada AS$3,318.90 (RM14063.83).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!