KPKT salur RM183 juta untuk Pahang

Kor Ming pada Majlis Sentuhan Kasih KPKT sempena Lawatan Ke Rumah Pangsa Alor Akar di sini pada Selasa.
Kor Ming pada Majlis Sentuhan Kasih KPKT sempena Lawatan Ke Rumah Pangsa Alor Akar di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM183 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan baik pulih di seluruh negeri Pahang bagi tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan bawah siri Jelajah Sentuhan Kasih KPKT 4.0 itu bertujuan mengangkat martabat rakyat menerusi penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti dan selesa.

Menurutnya, penyaluran peruntukan itu melibatkan 12 projek yang diluluskan dan dua lagi projek projek tambahan yang akan dilaksanakan melalui kawal selia oleh 12 Bahagian, Jabatan dan Agensi di bawah KPKT.

"Sebanyak RM46.7 juta untuk pelaksanaan program Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain RM37 juta bagi projek pembangunan pihak berkuasa tempatan seperti pembinaan terminal bas Temerloh Sentral dan RM32 juta untuk bahagian kemampanan bandar bagi pelaksanaan program serta projek perumahan.

"Bagi projek pembangunan dan naik taraf Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sejumlah RM21.1 juta disediakan melibatkan pelaksanaan di daerah Kuantan, Bera, Lipis, Rompin dan Bentong," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sentuhan Kasih KPKT sempena Lawatan Ke Rumah Pangsa Alor Akar di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi

Kor Ming turut menjelaskan, sebanyak RM19 juta telah diperuntukkan di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk kerja-kerja perolehan tanah dan RM6.2 juta telah diperuntukkan di bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan bagi Inisiatif Belanjawan 2026 Negeri Pahang.

Menurut beliau, tiga lagi projek tambahan bernilai masing-masing RM1 juta setiap satu itu melibatkan pembinaan semula Medan Selera Cenderawasih, di Indera Mahkota, pembinaan Dewan Serbaguna Balok, di Beserah, dan kerja baik pulih rumah pangsa Alor Akar.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, di Rumah Pangsa Alor Akar, kita lihat dua blok yang dulunya usang kini sudah berwajah seri.

"Justeru, semua 160 keluarga di sini dapat menikmati nikmat hunian yang selesa," katanya

Mengulas mengenai pencapaian kementerian, Kor Ming memaklumkan KPKT telah berjaya menyiapkan sebanyak 15,082 projek prasarana awam di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun ini.

"Setahun sekurang-kurangnya 5,000 projek disiapkan, sebab itu jika diberikan ruang dan peluang dua penggal (10 tahun), saya yakin 50,000 projek prasarana awam akan siap sepenuhnya menjelang 2032.

"Kita mahu rakyat terus berdiri teguh bersama Kerajaan Madani supaya momentum hari ini dapat dikekalkan untuk konsistensi dasar-dasar yang membawa manfaat kepada rakyat," tambahnya.

 

 

Ringkasan AI

  • KPKT menyalurkan RM183 juta untuk projek pembangunan di Pahang pada tahun ini
  • Penggunaan peruntukan melibatkan 12 projek yang diluluskan dan dua projek tambahan
  • Program Rumah Mesra Rakyat mendapat RM46.7 juta, pembinaan terminal bas Temerloh Sentral dan program perumahan lain turut dibiayai
  • Sejumlah RM21.1 juta untuk projek pembangunan dan naik taraf Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
  • KPKT berjaya menyiapkan 15,082 projek prasarana awam dalam tempoh tiga tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!