Peniaga rugi RM5,000, ikan dicuri di pasar

GEORGE TOWN -Seorang penjual ikan di Pasar Batu Lancang, di sini mengalami kerugian sehingga RM5,000 selepas ikan jualannya dicuri dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi, 22 Jun lalu.
Tan Kwang Kiat, 44, berkata, kejadian tersebut merupakan kali kedua, yang pertama berlaku pada Mac lalu.
"Saya mula berniaga pada waktu petang dan bekalan ikan sampai ke pasar pada tengah malam. Apabila saya datang ke gerai untuk memulakan perniagaan, saya belum sedar tong ikan saya hilang.
"Saya hanya menyedari satu tong ikan yang mengandungi 24 kilogram (kg) ikan kayu yang berharga hampir RM1,000 hilang ketika saya selesai berniaga. Apabila saya periksa kamera litar tertutup (CCTV), baru saya tahu ia dicuri," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Kwang Kiat berkata, dalam kejadian pertama, tong yang mengandungi ikan kerapu dan bawal seberat lebih 40kg bernilai RM4,000 telah dicuri.

"Kejadian pertama berlaku pada Mac manakala yang terbaharu pada Ahad lalu. Kedua-dua kejadian berlaku pada waktu yang hampir sama iaitu kira-kira 2 pagi.
"Saya juga telah membuat laporan polis untuk kedua-dua kejadian. Saya harap pencuri segera ditangkap kerana kerugian yang ditanggung (oleh saya), bukannya sedikit," katanya.
Bercerita lanjut, Kwang Kiat berkata, sebelum ini pintu pasar tersebut ditutup sepenuhnya, namun perlu dibuka oleh pengurusan pasar kerana masa operasi peniaga di situ tidak sama.
"Oleh kerana itu, pengurusan mengambil keputusan untuk tidak mengunci pasar, menyebabkan orang senang keluar masuk, termasuk orang luar. Selepas ini, kami sepakat mahu setiap peniaga memegang kunci pintu masing-masing. Siapa datang awal, buka sendiri," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata, rakaman CCTV mengenai kejadian itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
"Saya dimaklumkan insiden ini sudah berlaku beberapa kali, jadi saya minta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menambah pemasangan beberapa unit CCTV, terutamanya di bahagian luar pasar dan kawasan parkir.
“Pihak MBPP telah bersetuju dengan cadangan ini dan saya berharap langkah tersebut dapat meningkatkan tahap keselamatan di kawasan pasar ini,” katanya ketika dihubungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

