Rasuah lebuh raya: SPRM kesan perbelanjaan RM11 juta guna mata wang digital

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan penggunaan wang RM11 juta dalam bentuk mata wang digital disyaki hasil daripada wang dana sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam kes ini seramai 55 saksi telah dirakam keterangan dan sembilan tangkapan telah dilaksanakan.
Menurutnya, SPRM juga telah membekukan 14 akaun individu dan lapan syarikat berjumlah RM156 juta untuk tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
"Kita telah kesan penggunaan wang RM11 juta iaitu wang hasil daripada sukuk yang diberikan dan wang ini digunakan dalam bentuk mata wang digital yang telah dibelanjakan ke sesuatu perbelanjaan.
"SPRM kena siasat perkara ini kerana penggunaannya (wang digital) bukan untuk projek lebuh raya terbabit, namun setakat ini belum lagi dapat sahkan untuk pembelian apa.
"Kita sedang kesan bagaimana wang ini telah dikeluarkan dan digunakan untuk penggunaan RM11 juta ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dengan memanggil kira-kira 10 saksi lain.
Tambahnya, siasatan akan disiapkan dalam tempoh dua bulan ini.
Mengulas mengenai adakah SPRM akan merakam semula keterangan pemegang konsesi bergelar Tan Sri, Azam berkata, setakat ini tiada keperluan selepas pegawai penyiasat berpuas hati dengan perkara itu.
"Apa yang penting di sini ialah keterangan lain untuk membantu siasatan.
"Pegawai penyiasat sedang siapkan fail siasatan dengan mengambil percakapan daripada pihak bank, analisa kewangan yang diperolehi.
"Saya beri masa kepada pegawai saya maksimum untuk siapkan dua bulan sahaja," ujarnya.
Sebelum ini, SPRM telah merekod keterangan seorang individu bergelar Tan Sri sebanyak tiga kali di kediamannya di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 19 Jun lalu.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan penyitaan aset dalam negara bernilai RM141 juta dan sedang mengesan aset di luar negara berjumlah RM15 juta yang turut dikaitkan dengan siasatan ini.
Antara sitaan melibatkan akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium dan tanah RM24.5 juta, sembilan kenderaan mewah RM7.65 juta, jam tangan mewah RM26 juta serta barangan kemas dan berlian bernilai RM10 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
