Rasuah lebuh raya: SPRM rakam keterangan Tan Sri lebih 7 jam

Keadaan di sekitar kediaman Tan Sri pada Khamis.
Keadaan di sekitar kediaman Tan Sri pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kenderaan pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat meninggalkan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri selepas lebih tujuh jam merakam keterangannya.

SPRM merakam keterangan individu berkenaan bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana sukuk sebuah projek lebuh raya.

Sebuah kereta jenis Toyota Vios yang membawa dua pegawai penyiasat dilihat beredar dari lokasi kira-kira jam 4.34 petang.

Terdahulu, pasukan penyiasat SPRM tiba di kediaman berkenaan sekitar jam 9.10 pagi bagi merakam keterangan individu terbabit.

Hasil tinjauan mendapati kawasan kediaman masih dikawal ketat oleh anggota polis bantuan, termasuk pemasangan kon penghadang bagi menghalang orang awam menghampiri lokasi.

Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa rakaman keterangan individu yang disiasat itu akan disambung hari ini.

Proses mengambil keterangan oleh pasukan penyiasat tersebut merupakan kali ketiga, selepas tindakan sama dilakukan pada 11 dan 12 Jun lalu.

Sebelum ini, SPRM menyita aset dalam negara berjumlah RM141 juta serta sedang mengesan aset luar negara bernilai RM15 juta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya berkenaan.

Jumlah aset yang disita membabitkan akaun individu sebanyak RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta serta barangan kemas dan berlian bernilai RM10 juta.

Artikel Berkaitan:

Barangan lain yang turut disita ialah tas tangan mewah bernilai RM6 juta, jongkong, patung emas dan syiling emas dianggarkan bernilai RM3 juta, serta empat ekor kuda bernilai RM400,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!