Kertas siasatan seleweng dana lebuh raya lengkap dalam tempoh dua bulan - SPRM

Azam
Azam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung kes penyelewengan dana sukuk sebuah projek lebuh raya akan dilengkapkan dalam tempoh dua bulan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang mengesahkan perkara itu berkata, bagaimanapun setakat ini tiada sebarang keperluan untuk menyambung proses rakaman keterangan ahli perniagaan bergelar Tan Sri itu.

“Pihak SPRM telah pun selesai merakam kenyataannya (Tan Sri) itu semalam dan buat sementara ini kita tidak nampak sebarang keperluan untuk merekod sebarang percakapannya lagi.

“Namun dia (Tan Sri) boleh dipanggil semula pada bila-bila masa sekiranya ada perkembangan terbaharu yang diperolehi pihak SPRM.

“Sekiranya wujud bukti-bukti baharu pegawai penyiasat akan memanggil dia semula untuk tindakan sambungan rakaman percakapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro Awani berhubung perkembangan kes terbabit.

Azam juga menjelaskan, SPRM akan memanggil lebih ramai saksi selepas ini bagi direkodkan keterangan untuk membantu siasatan.

“Jadi dalam kes ini, penyiasatan akan diteruskan dengan memanggil saksi-saksi baharu. Setakat ini tidak dapat saya kongsi berapa ramai telah SPRM panggil untuk direkodkan keterangan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi lebih ramai saksi akan kami panggil untuk membantu siasatan dalam memberi keterangan. Selain itu, SPRM kini dalam proses menganalisis dokumen yang kita perolehi termasuk dokumen bank yang kami peroleh.

“Semua ini bagi tujuan untuk melihat dan membantu pihak SPRM dalam menyelesaikan siasatan yang sedang dijalankan,” jelasnya.

Pada Khamis SPRM menyambung proses merakam keterangan individu berkenaan bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana sukuk sebuah projek lebuh raya.

Proses mengambil keterangan oleh pasukan penyiasat SPRM tersebut merupakan kali ketiga, selepas tindakan sama dilakukan pada Rabu dan Khamis lalu.

Sebelum ini, SPRM menyita aset dalam negara berjumlah RM141 juta selain sedang mengesan aset luar negara dianggarkan bernilai RM15 juta, yang dikaitkan dengan penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya berkenaan. - Awani 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!