Wanita dikerat: Dua lagi anak suspek ditahan

Laporan Sinar Harian berhubung kes bunuh dan kerat seorang wanita sebelum ditemui dibuang di tempat pembungan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar pada Khamis.
Laporan Sinar Harian berhubung kes bunuh dan kerat seorang wanita sebelum ditemui dibuang di tempat pembungan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua lagi anak kepada suspek utama dalam kes bunuh dan kerat seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil tindakan pantas dan siasatan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, setakat ini seramai empat individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

"Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun pada Khamis lalu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun turut ditahan pada malam yang sama di kawasan Sepanggar.

"Hari ini, dua lagi tangkapan melibatkan dua wanita tempatan masing-masing berusia 29 tahun dan 21 tahun telah dibuat di kawasan Sepanggar dan Inanam bagi membantu siasatan lanjut.

"Kedua-dua wanita tersebut merupakan anak kepada suspek utama dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Syed Lot berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

"Barangan tersebut termasuk telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, satu bilah parang berukuran kira-kira 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Beliau dalam pada itu memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Dalam kejadian pagi Khamis lalu, mayat seorang wanita berusia 44 tahun yang dikerat ke beberapa bahagian ditemui oleh pekerja lori sampah yang melakukan kerja pembersihan sekitar kira-kira jam 7 pagi.

Susulan penemuan mayat tersebut, dua suspek berjaya ditahan dan polis memaklumkan bahawa suspek utama merupakan tunang mangsa.

 

 

Ringkasan AI

  • Dua lagi anak kepada suspek utama kes bunuh dan kerat wanita ditahan
  • Seramai empat individu telah ditahan bagi membantu siasatan
  • Barangan berkaitan kes termasuk telefon bimbit, pakaian, sarung tangan dan parang dirampas
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
  • Mayat mangsa yang dikerat ditemui oleh pekerja lori sampah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!