Penghantar makanan e-hailing didenda RM10,000 urus petrol tanpa permit

Mahkamah turut lucut hak kereta dan wang hasil jualan diesel

Mohamad Shahrulriza Riszman (tengah) di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Ahad.
Mohamad Shahrulriza Riszman (tengah) di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang penghantar makanan e-hailing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak petrol tanpa permit sah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Shahrulriza Riszman Kamaruddin, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa berurusan dengan minyak petrol sebanyak 245.4 liter tanpa sebarang permit sah di tepi jalan hadapan sebuah pasar raya di Kampung Berangan, Tumpat, pada jam 4.25 petang, 24 September 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Kelantan, Wan Mohd Raziff Wan Ghazali manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Abd Halim.

Mahkamah turut memerintahkan supaya sebuah kenderaan Proton Saga yang digunakan dalam kegiatan itu serta wang tunai RM397.75 hasil jualan minyak diesel dilucut hak kepada kerajaan.

Tertuduh kemudian menjelaskan denda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!