Kilang proses plastik didenda RM105,000, lepas pencemar tanpa lesen

SHAH ALAM – Sebuah kilang pemprosesan plastik di Sabak Bernam didenda RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor atas lima pertuduhan melepaskan pencemar tanpa lesen pada tahun 2023.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Wandi Yadzid Yaakob dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mahkamah membuat keputusan tersebut semalam selepas pengurus syarikat See Hau Global Sdn Bhd, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku bersalah.
Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza turut menjatuhkan hukuman penjara selama setahun sekiranya denda itu gagal dibayar.
“Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan pegawai JAS cawangan Sabak Bernam di kilang berkenaan pada 27 Disember 2023 telah mendapati efluen perindustrian yang dilepaskan ke dalam longkang awam melebihi kadar yang dibenarkan,” katanya.
Wandi Yadzid berkata, kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 25(1) dan Seksyen 25(3) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak, khususnya yang mengendalikan premis industri, supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan yang telah ditetapkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
