'Laparlah ibu', penghantar makanan sebak dengar anak kecil kelaparan

SHAH ALAM – Peningkatan kos sara hidup memberi kesan langsung kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sehingga ada yang terpaksa melakukan apa sahaja demi memastikan keluarga mendapat makanan.
Situasi itu dikongsi seorang penghantar makanan, Mohd Fairus Mohamed Said, 45, dari Klang, Selangor yang menceritakan pengalaman menyayat hati ketika menghantar pesanan makanan kepada seorang wanita baru-baru ini.

Menurutnya, pesanan tersebut dibuat dengan pilihan bayaran tunai dan dia menerimanya kerana memerlukan wang segera untuk mengisi minyak motosikalnya.
“Tanpa berfikir panjang, saya terima pesanan itu dan terus ke alamat pelanggan di tingkat lima sebuah pangsapuri. Jika sebelum ini saya agak memilih kerana pergerakan terbatas akibat kemalangan, namun hari itu saya terima juga sebab perlukan tunai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mohd Fairus atau lebih dikenali sebagai Paktam dalam kalangan rakan penghantar makanan berkata, sebaik tiba, dia meminta bayaran sebanyak RM25, namun wanita berkenaan memohon maaf dan memaklumkan tidak mempunyai wang tunai.
“Saya minta dia buat pindahan wang ke akaun bank tetapi dia tetap kata tiada duit. Ketika itu, saya mula rasa marah kerana merasakan masa dan tenaga saya disia-siakan.
“Tiba-tiba saya terdengar suara kanak-kanak, mungkin sekitar enam tahun, menjerit dari dalam rumah bertanya tentang makanan yang dipesan. Dia kata, ‘Ibu, makanan dah sampai ke? Saya lapar la, ibu.’
“Seketika itu juga hati saya luluh dan saya sedar mereka benar-benar dalam kesusahan,” katanya.
Mohd Fairus berkata, tanpa berfikir panjang, dia menyerahkan makanan itu secara percuma demi memastikan kanak-kanak itu dapat makan.
“Sepanjang tiga tahun jadi penghantar makanan, ini pertama kali saya alami kejadian seperti ini. Mungkin ALLAH mahu tunjukkan bahawa ketika kita rasa susah, ada insan lain yang lebih susah daripada kita.
“Kalau kita mampu bantu, bantulah. Jangan kita hukum orang hanya kerana kita tak faham situasi sebenar mereka,” ujarnya.
Mohd Fairus turut berharap agar masyarakat mengambil iktibar daripada pengalamannya itu, serta sentiasa bersangka baik terhadap orang lain.
“Ada ramai orang di luar sana yang dalam kesempitan hidup. Kita kena sentiasa bersyukur dengan rezeki yang kita ada dan bantu mereka yang lebih memerlukan,” pesannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!