Polis siasat kejadian pintu bank pecah ditembak

SIBU - Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif dan suspek yang terlibat dalam kejadian pintu kaca pecah dipercayai ditembak di sebuah bank di Jalan Lanang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili dalam kenyataan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya di tempat kejadian menemukan satu kelongsong peluru dan satu butir peluru hidup dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden terbabit.
"Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang lelaki berkaitan kejadian itu.
"Menurut keterangan saksi, terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya telah melepaskan satu das tembakan menggunakan senjata api dipercayai jenis pistol sebelum melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa dan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Zulkipli turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Terdahulu, tular menerusi media sosial memaparkan kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang pada Ahad. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis sedang menjalankan siasatan kejadian pintu kaca pecah di bank Jalan Lanang, Sibu dipercayai akibat tembakan
- Satu kelongsong peluru dan satu butir peluru hidup ditemukan di tempat kejadian
- Laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian itu
- Dua lelaki menaiki motosikal terlibat dengan seorang melepaskan tembakan menggunakan pistol sebelum melarikan diri
- Kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
