DNAA Najib: CSO Platform for Reform kemuka empat tuntutan

SHAH ALAM – CSO Platform for Reform mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, tuntutan tersebut dibuat kerana keputusan DNAA itu mencerminkan kerumitan dan halangan prosedur yang boleh menjejaskan kelancaran serta ketelitian pendakwaan kes-kes berkaitan.
Antara tuntutan utama yang dikemukakan termasuklah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang benar-benar bebas dan tidak terlibat dengan sebarang pengaruh atau campur tangan politik.
“Kemerdekaan itu amat penting bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan dan pendakwaan secara telus dan tidak memihak terhadap kes-kes rasuah di semua peringkat, termasuk melibatkan pegawai tinggi, tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Hanya dengan SPRM yang benar-benar autonomi, keyakinan awam terhadap usaha anti-rasuah di Malaysia dapat dipulihkan dan diperkukuh,” katanya pada Sabtu.
CSO Platform for Reform turut menyeru agar diwujudkan pemisahan kuasa yang jelas antara peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang bebas daripada campur tangan Pejabat Perdana Menteri, bagi memastikan keputusan pendakwaan dibuat tanpa pengaruh atau tekanan politik.
Kenyataan itu menyebut, reformasi struktur yang penting ini akan menegakkan kedaulatan undang-undang serta memastikan keadilan dilaksanakan dengan adil dan telus.
“Dengan memisahkan fungsi itu secara jelas, kedua-dua Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti, sekali gus memperkukuh kredibiliti dan ketelusan sistem perundangan negara,” ujar kenyataan itu lagi.
CSO Platform for Reform juga menyeru komitmen utuh dan tidak berbelah bahagi daripada semua peringkat kerajaan termasuk pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk secara aktif memerangi rasuah dalam semua bentuknya.
Kerajaan juga diseru supaya menghormati dan melindungi sepenuhnya hak semua kumpulan serta individu yang secara aman menuntut langkah-langkah anti-rasuah melalui demonstrasi dan perhimpunan awam, termasuk inisiatif Suara Mahasiswa UMS seperti Gempur Rasuah Sabah 2.0.
“Kami berdiri teguh menyokong semua individu dan kumpulan yang berani bersuara menentang ketidakadilan serta memegang pihak berkuasa bertanggungjawab, meskipun berhadapan cabaran yang semakin meningkat,” tegas kenyataan itu.
CSO Platform for Reform turut mengingatkan bahawa rasuah kekal sebagai isu meluas yang menjejaskan semua wilayah negara dan mengancam kestabilan serta kesihatan sistem demokrasi.
Justeru, semua pihak digesa menggunakan hak mereka dengan berani dan penuh pertimbangan, kerana masyarakat yang menindas kebenaran serta membungkam suara bantahan tidak akan mampu membina masa depan yang adil dan inklusif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!