Najib gembira, tidak lagi dibebani banyak kes mahkamah- Peguam

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gembira kerana tidak lagi dibebani dengan kes mahkamah yang terlalu banyak.

Demikian kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat melepaskan dan membebaskannya (DNAA) atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) RM27 juta yang membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

"Beliau gembira kerana tidak lagi terlalu banyak kes yang tergantung di kepalanya, memandangkan permohonan telah meminta DNAA dibuat beberapa kali sebelum ini.

“Kini, beliau boleh menumpukan perhatian pada kes 1MDB (1Malaysia Development Bhd),” kata ketika sidang akhbar di pekarangan mahkamah di sini pada Jumaat.

Muhammad Shafee ketika sidang akhbar selepas Najib diberi perintah DNAA bagi tiga kes AMLA SRC membabitkan dana SRC sebanyak RM27 juta pada Jumaat. Foto Bernama
Muhammad Shafee ketika sidang akhbar selepas Najib diberi perintah DNAA bagi tiga kes AMLA SRC membabitkan dana SRC sebanyak RM27 juta pada Jumaat. Foto Bernama

Ditanya mengenai pendekatan pihak pendakwaan mengenai perintah DNAA berkenaan, Muhammad Shafee berkata, timbalan pendakwa raya tidak boleh merayu terhadap keputusan berkenaan.

Beliau berkata, ia disebabkan pendakwaan masih boleh meneruskan kes sekiranya bersedia di masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Pastinya kami berharap mereka tidak melakukannya, kerana kes ini telah cukup memprejudis Datuk Seri Najib, jadi saya harap Peguam Negara dapat menggunakan kuasa dan budi bicara untuk menutup kes ini.

“Najib memang dilepaskan tanpa dibebaskan atas kes AMLA sebanyak RM27 juta dana SRC, tetapi kerana beliau masih perlu menjalani hukuman penjara, bagi kes menyeleweng dana sama membabitkan RM42 juta,” katanya.

Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Pekan itu diberi perintah DNAA oleh Mahkamah Tinggi, atas tiga pertuduhan itu, selepas membenarkan permohonan yang dibuat pada 11 Jun lalu.

Pada 11 Jun lalu, Najib gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan tiga kes ini selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi perbicaraan kes tersebut.

Bagaimanapun, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, mengulangi permohonan supaya anak guamnya diberi perintah DNAA memandangkan kes ini telah berlanjutan sejak 2019 yang mana penangguhan sudah menjangkau enam tahun.

Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas ahli politik itu, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!