Najib bebas tapi kekal di Penjara Kajang

Najib (tiga, kanan) ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama
Najib (tiga, kanan) ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd, beliau tetap kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini kerana bekas Perdana Menteri itu masih menjalani hukuman penjara berkaitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

“Najib memang dilepaskan tanpa dibebaskan atas kes AMLA melibatkan RM27 juta, tetapi beliau masih perlu menjalani hukuman penjara bagi satu lagi kes membabitkan jumlah RM42 juta.

“Bagaimanapun, beliau tetap gembira dengan keputusan ini kerana tidak terlalu banyak kes tergantung. Permohonan DNAA juga telah dibuat beberapa kali sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar.

Tambah Muhammad Shafee, keputusan itu membolehkan Najib menumpukan perhatian kepada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih berjalan.

Pada 11 Jun lalu, Najib gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan tiga pertuduhan tersebut selepas Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan kes berkenaan. Namun, Muhammad Shafee sekali lagi mengemukakan permohonan DNAA memandangkan kes itu telah berlarutan sejak 2019 dan mengalami pelbagai penangguhan.

Najib, 72, didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil aktiviti haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta SRC International sejak 23 Ogos 2022.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Diraja pada 2 September 2022, dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!