DNAA Najib: Jabatan Peguam Negara nafi jalankan 'pendakwaan cacat'

Jabatan Peguam Negara komited menegakkan kedaulatan undang-undang.
Jabatan Peguam Negara komited menegakkan kedaulatan undang-undang.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa jabatan itu menjalankan ‘pendakwaan cacat’.

Jabatan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan, dakwaan tersebut sebagai tidak berasas kerana pihaknya sentiasa mengekalkan tahap dan kualiti kerja pada standard tertinggi, selaras dengan jangkaan rakyat.

“Jabatan ini kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang serta akan terus melaksanakan tanggungjawabnya mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan penuh integriti, saksama dan menghormati proses pengadilan,” katanya.

Menurutnya, jabatan berkenaan turut mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi pada Jumaat yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak daripada tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Jabatan itu menjelaskan, kes berkenaan telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi pada 7 Februari 2019 dan dijadualkan untuk perbicaraan sebanyak lima kali pada Jun 2020, Julai hingga Ogos 2021, Mac hingga April 2022, September 2024 serta April hingga Mei 2025.

Bagaimanapun katanya semua tarikh perbicaraan tersebut ditangguhkan atas beberapa sebab termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19, permohonan pihak pembelaan tertuduh atau permohonan daripada pihak pendakwaan sendiri.

"Antara sebab pihak pendakwaan memohon penangguhan adalah kerana perbicaraan kes SRC pertama masih berjalan di semua peringkat mahkamah dan selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2023.

"Selain itu, prosiding perbicaraan kes 1MDB turut bermula ketika kes SRC pertama masih belum selesai dan kedua-dua kes itu melibatkan penggunaan sebahagian dokumen material yang turut diperlukan dalam perbicaraan kes SRC kedua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, memandangkan dokumen berkenaan adalah material untuk perbicaraan kes SRC kedua, pihak pendakwaan tiada pilihan lain kecuali terpaksa menunggu dokumen material berkenaan diperoleh sehingga prosiding perbicaraan kes 1MDB selesai.

Tambahnya, kelewatan yang berlaku bukan disengajakan, sebaliknya bertujuan memastikan integriti dokumen sebagai bahan bukti dalam perbicaraan sentiasa terpelihara.

"Pihak pendakwaan juga telah memohon tempoh masa munasabah untuk mengumpulkan dokumen material tersebut bagi dikemukakan dalam kes SRC kedua.

"Namun demikian, Jabatan ini akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan akan meneliti serta mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!