Najib lepas tanpa bebas kes SRC RM27 juta

Najib dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat, atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Najib dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat, atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan agar Najib, 72, diberi perintah DNAA pada 11 Jun lalu.

Ketika membaca keputusan penghakiman, beliau berkata mahkamah mendapati tertuduh telah berdepan dengan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian dalam tempoh masa yang tidak menentu.

“Sekarang sudah tahun 2025 tetapi perbicaraan kes ini masih belum bermula. Jadi, perintah yang paling sesuai ialah mahkamah ini memberikan perintah DNAA.

“Tiada prejudis kepada pihak pendakwaan kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini sekiranya mereka bersedia pada masa akan datang,” katanya.

Hakim berkata, mahkamah mengambil kira fakta bahawa pertuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu melibatkan kesalahan yang didakwa dilakukan pada 2014, manakala pertuduhan hanya dibuat lima tahun kemudian.

Susulan itu, beliau menyatakan proses mahkamah telah disalahgunakan dengan pelbagai penangguhan, sedangkan kes ini kekal dalam sistem kehakiman tanpa penyelesaian sejak 2019.

“Prinsip kedaulatan undang-undang terpakai bagi mengelakkan situasi yang memudaratkan tertuduh.

“Sehingga tiba waktunya, tertuduh dilepaskan daripada semua kes, dan mahkamah memberikan perintah DNAA,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Jun lalu, Najib gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, kemudiannya memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan. Namun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mengulangi permohonan agar anak guamnya diberi perintah DNAA memandangkan kes telah berlanjutan selama enam tahun.

Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuan beliau.

Najib memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!