Dakwa tiada tindakan polis, Na'imah buat laporan ke IPCC

PUTRAJAYA – Balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Khalid membuat laporan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) berhubung dakwaan kegagalan polis bertindak terhadap laporan yang dibuatnya tahun lalu mengenai artikel terbitan Bloomberg.
Beliau mendakwa bahawa selepas sembilan bulan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, tiada sebarang perkembangan diterima sehingga kini, malah tiada sebarang panggilan daripada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
“Sudah sembilan bulan berlalu, tiada apa-apa siasatan dibuat. Sampai hari ini, saya pun tidak tahu siapa pegawai penyiasat bagi kes ini.
“Peguam saya ada hubungi pihak polis untuk bertanyakan perkembangan kes, namun tiada jawapan. Surat juga telah dihantar, tetapi tetap tiada maklum balas.
“Saya buat laporan kepada IPCC supaya mereka berani menyiasat kenapa polis tidak menyiasat laporan itu, sedangkan saya telah menamakan Perdana Menteri dalam laporan tersebut, namun beliau langsung tidak disiasat,” katanya ketika ditemui selepas menghantar laporan ke IPCC pada Khamis.
Terdahulu, pada 30 September lalu, Na'imah membuat laporan polis berhubung satu artikel media antarabangsa yang memetik sumber mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diarahkan untuk menyiasat Tun Daim dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta anak-anak bekas Perdana Menteri tersebut.
Dalam laporan itu, Na'imah mendakwa ia menunjukkan pertuduhan terhadap beliau dan Allahyarham Daim merupakan sebahagian daripada satu konspirasi untuk menyasarkan musuh politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘menyelewengkan’ institusi negara dan agensi penguat kuasa.
Dalam pada itu, Na'imah turut mempersoalkan pelantikan semula Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dia lanjutkan kontrak Azam kerana beliau berani menyiasat.
“Tetapi saya tidak tahu di mana keberanian itu, kalau yang disiasatnya adalah orang yang telah meninggal dunia, balu kepada si mati, dan orang yang sudah berumur 100 tahun,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
