Na'imah akan cabar perintah beku RM758 juta aset di London

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan mencabar perintah Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan aset miliknya dan keluarganya di London bernilai £132 juta (RM758.2 juta) dibekukan.
Na’imah memaklumkan bahawa mereka sekeluarga tidak pernah dimaklumkan mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersebut.
Susulan itu, katanya, tindakan SPRM membuat permohonan secara sebelah pihak atau ex-parte merupakan satu pencabulan mengejut terhadap norma undang-undang yang paling asas.
“Saya akan melawan tindakan yang bermotifkan politik, melulu, pendendam dan melanggar undang-undang ini melalui semua saluran undang-undang yang ada pada saya,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikongsi oleh peguamnya, Rajesh Nagarajan.
Pada Rabu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan aset luar negara itu dibekukan.
Tujuh aset yang dibekukan – semuanya terletak di London – merangkumi dua bangunan komersial, lima kediaman mewah dan satu akaun bank. Akaun bank tersebut didaftarkan atas nama Yayasan Ilham.
Satu daripada bangunan komersial itu terletak di St Mary Axe, London dan dibeli pada Julai 2013 pada harga £23.7 juta (RM136.2 juta), manakala satu lagi terletak di One Crown Court, Cheapside, London yang dibeli pada Oktober 2014 dengan harga £31.5 juta (RM181 juta).
Hartanah lain yang turut dibekukan ialah tiga kediaman mewah – dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews, dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £37.8 juta (RM217.3 juta), serta satu lagi di Lancaster Gate, London yang dibeli pada tarikh sama dengan harga £31.2 juta (RM179.4 juta).
Turut dibekukan ialah dua kediaman di Gloucester Place yang dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga £8.1 juta (RM46.5 juta).
Perintah mahkamah tersebut kini akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk pelaksanaan pembekuan aset berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

