Kes rogol remaja di Johor meningkat - Polis

Kumar.
Kumar.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Peningkatan kes rogol melibatkan golongan remaja di Johor semakin membimbangkan apabila sebanyak 54 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes tersebut termasuk pengaruh kandungan lucah di media sosial yang mudah diakses serta kurangnya kesedaran masyarakat terhadap undang-undang berkaitan jenayah seksual.

Menurutnya, kegagalan institusi keluarga turut memainkan peranan apabila remaja yang terlibat tidak menerima perhatian, kasih sayang dan kawalan secukupnya daripada ibu bapa.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor melalui Unit Siasatan Seksual (D11) telah mengambil langkah proaktif dengan turun padang ke sekolah-sekolah bagi menyampaikan ceramah kesedaran berkaitan jenayah ini kepada para pelajar.

“Saya menyeru semua pihak agar memandang serius isu ini dan bersama-sama membendungnya. Curahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak serta didik mereka dengan pegangan agama dan nilai moral yang tinggi. Institusi kekeluargaan perlu diutamakan.

“Selain itu, masyarakat juga perlu lebih peka terhadap aktiviti dan pergaulan anak-anak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Cawangan Khas Johor, Senior Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat.

Dalam pada itu, Kumar memaklumkan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor turut mencatat kejayaan besar apabila berjaya menumpaskan 21 sindiket pengedaran dadah dari awal tahun hingga Mei lalu.

“Dalam tempoh tersebut, seramai 58 ahli sindiket telah ditahan dengan nilai rampasan dadah mencecah RM81.07 juta, manakala nilai sitaan pelbagai aset pula berjumlah RM2.26 juta.

Artikel Berkaitan:

“JSJN turut mencatat sebanyak 10,794 tangkapan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, dengan rampasan dadah bernilai RM83.18 juta serta sitaan harta berjumlah RM7.49 juta,” ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor pula mencatat kadar penyelesaian jenayah indeks sebanyak 59.64 peratus, menunjukkan komitmen berterusan PDRM Johor dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, elemen Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) turut menyumbang kepada pencapaian cemerlang PDRM Johor menerusi pembanterasan aktiviti penyeludupan.

“Ia melibatkan lima kes penyelewengan minyak sawit bersubsidi dengan jumlah rampasan bernilai RM1.11 juta, serta satu kes penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai RM48,000,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!