Selangor catat 80 kes pencemaran sungai tahun lalu

Jamaliah Jamaluddin
Jamaliah Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor merekodkan sebanyak 80 kes pencemaran sungai di negeri ini pada tahun lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan mengenai perkara itu telah dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Menurut beliau, bagi kes yang telah lengkap kertas siasatan serta telah dikenal pasti punca dan pelaku, tindakan kompaun bagi kesalahan di bawah Enakmen LUAS 1999 telah dikenakan selepas mendapat izin kompaun daripada pihak pendakwaan.

"Kerajaan Selangor, melalui LUAS telah melaksanakan pelbagai tindakan serta kaedah untuk menangani masalah pencemaran sungai antaranya menerusi pemantauan 24 jam sejak tahun 2020 lalu.

"Skuad Elit Air LUAS (SKEAL) telah melaksanakan pemantauan secara berterusan untuk memantau keadaan sungai di seluruh negeri," katanya semasa menjawab pertanyaan daripada Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan DUN Selangor di sini pada Jumaat.

Jamaliah memberitahu, selain itu, antara tindakan lain diambil seperti melakukan tinjauan sungai bagi mengenal pasti aktiviti dalam 50 meter rizab sungai dan kajian inventori guna tanah yang berisiko.

"Kerajaan negeri juga melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal dan melakukan pemantauan berkala ke atas kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon perlindungan di bawah seksyen 48 Enakmen LUAS 1999," jelas beliau.

Tegas beliau, kerajaan negeri juga melaksanakan tindakan pengkompaunan atau pendakwaan secara terus bagi kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran sumber air tanpa lesen atau kebenaran LUAS.

Beliau memberitahu, antara tindakan lain seperti kolaboratif bersama agensi-agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri dalam mengesan suspek yang disyaki menyebabkan pencemaran air.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga melaksanakan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program (RMP) di sepanjang rizab sungai utama negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko;

"Kita turut mempergiatkan usaha dan memperkasakan penglibatan agensi, komuniti, NGO (badan bukan kerajaan) dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai oleh komuniti di negeri ini," jelas beliau.

"Bagi menghalang pencemaran sumber air itu juga kerajaan negeri melalui pelaksanaan Zero Discharge Policy (ZDP) selain penguatkuasaan berterusan melalui Jawatankuasa-Jawatankuasa yang telah ditubuhkan," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!