Khalid Samad gagal rayu saman fitnah isu arak

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kes saman fitnah terhadap bekas Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim, lima tahun lalu.
Ia berhubung saman berkaitan hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Abdullah, mengandungi gambar Khalid, 68, bersebelahan tin arak.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mengarahkan Khalid selaku perayu membayar kos RM15,000 kepada Abdullah.
Ketika membaca keputusan penghakiman, Hakim, Supang berkata, terdapat kelompongan dalam kes itu, apabila gagal Khalid memanggil saksi utama, pembuat dokumen yang pada asalnya telah disenaraikan sebagai saksi.
Menurutnya, dalam kes Abdullah pula, mahkamah mendapati ‘tiada keperluan untuk menjawab kes’ kerana kegagalan perayu sendiri.
“Perayu perlu membuktikan kesnya terlebih dahulu untuk berjaya dalam tindakan di mahkamah dan dalam kes ini beliau gagal membuktikan perkara itu,” katanya.
Dalam prosiding ini, Khalid diwakili peguam, Hisham Fauzi dan Rusilawati Zakaria sementara Abdullah sebagai responden dihadiri peguam, Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi, Nik Saiful Adli Burhan, Azwan Mat Hussain, Aimi Shazwani Yaakob dan Nurul Fadhilah.

Sebelum ini, perayu memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan dan mendakwa Abdullah membuat hantaran fitnah melalui status Facebook, pada jam 6.25 petang, 22 Mac 2020.
Kenyataan tersebut turut melampirkan satu gambar perayu besertakan satu tin arak Carlsberg dan beberapa tulisan.
Khamid mendakwa kenyataan itu sebagai tidak berasas, bersifat menfitnah, memburuk-burukkan dan menjatuhkan maruahnya.
Pada 30 March 2023, mahkamah itu menolak tuntutan Khalid selaku plaintif dalam kes itu dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM8,000 terhadap Abdullah.
Hakim, Datuk Abazafree Mohd Abbas berkata, Khalid yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Shah Alam pernah dikaitkan dengan Carlsberg.
Beliau dikatakan pernah berjanji mahu merobohkan kilang arak berkenaan sekiranya Pas menjadi Kerajaan, semasa kempen pilihan raya.
Susulan itu, beliau memfailkan rayuan dan menghujahkan hakim terkhilaf dalam membuat keputusan berkenaan.
Berdasarkan dokumen, perayu menghujahkan hakim terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan ketiadaan keterangan oleh Abdullah bagi menjelaskan
pembelaannya adalah fatal.
Katanya, segala fakta dalam kenyataan pembelaan tidak boleh berdiri dengan sendirinya.
Bagaimanapun, pembelaan Abdullah memberitahu, kenyataan tersebut tidak menjadi fitnah kerana perayu sendiri telah mengakui bahawa sebahagian daripada kenyataan yang dipetik adalah benar.
Katanya, ia juga datang daripada perayu sendiri semasa pemeriksaan balas dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

