Pengurus syarikat swasta rugi RM1.77 juta terpedaya pelaburan saham tidak wujud

Kejadian bermula apabila nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan saham.
Kejadian bermula apabila nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan saham.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM1.7 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham menerusi sebuah kumpulan WhatsApp yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa berusia 67 tahun yang juga seorang pengurus syarikat swasta membuat laporan polis pada 12 Jun lalu selepas menyedari dirinya telah ditipu.

Menurut beliau, kejadian bermula sekitar April lalu apabila nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan saham.

“Mangsa dijanjikan pulangan harian antara lima hingga 10 peratus berdasarkan jumlah pelaburan, menyebabkan dia mula tertarik dan melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza antara 16 April hingga 30 Mei lalu.

“Jumlah keseluruhan wang yang telah dipindahkan adalah RM1,772,603,” katanya dalam kenyataan pada Selasa

Namun, selepas membuat pembayaran, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah diminta untuk membuat bayaran tambahan hampir RM500,000.

“Mangsa merasa curiga, akhirnya menyedari dia telah diperdaya.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Lakukan semakan dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pelaburan.

“Gunakan juga perkhidmatan Semak Mule untuk menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum melakukan sebarang transaksi,” jelasnya.

Orang ramai turut digalakkan mengikuti laman rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi jenayah komersial semasa serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!