74 pekerja Bangladesh menang tuntutan, syarikat diarah bayar lebih RM1.5 juta

SHAH ALAM – Seramai 74 pekerja migran warga Bangladesh akhirnya menarik nafas lega selepas Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur mengarahkan sebuah syarikat tempatan membayar pampasan berjumlah lebih RM1.5 juta atas kegagalan membayar gaji serta pelbagai pelanggaran hak pekerja.
Arahan itu dikeluarkan susulan tuntutan rasmi yang dikemukakan melalui pertubuhan hak asasi manusia, Tenaganita, selepas para pekerja mendakwa mereka tidak diberikan pekerjaan, gaji serta kemudahan asas sewajarnya sebaik tiba di Malaysia.
Tenaganita dalam satu kenyataan berkata, keputusan berkenaan merupakan kejayaan besar bukan sahaja kepada para pekerja terbabit, malah kepada seluruh komuniti pekerja migran yang sering diketepikan dalam sistem perundangan buruh negara.
“Kami amat menghargai tindakan tegas JTK Kuala Lumpur yang mengiktiraf kesahihan tuntutan pekerja migran ini.
"Ini bukti bahawa majikan tidak boleh lagi sewenang-wenangnya mengeksploitasi pekerja asing tanpa sebarang akibat,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A. Das.
Kes berkenaan diketuai oleh Perunding dan Pegawai Kes Utama Tenaganita, Abdul Aziz Ismail yang mendedahkan bahawa pekerja berkenaan direkrut di bawah sistem kuota rasmi pengambilan buruh asing negara.
Menurut beliau, pekerja terbabit termasuk penuntut utama, Md Kabir Hossain telah membayar sehingga RM25,000 sebagai yuran pengambilan untuk pekerjaan yang dijanjikan melalui permit sah.
Namun, sebaik tiba di Malaysia, mereka dibiarkan tanpa pekerjaan, tidak menerima gaji dan ditempatkan di asrama sempit serta kotor di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.
“Mereka hidup berbulan-bulan dalam keadaan terdesak tanpa pendapatan dan ada antara mereka hampir membunuh diri akibat tekanan melampau. Ini bukan satu kes terpencil. Kami dokumentasikan ratusan kes seumpama ini,” kata Abdul Aziz.
Beliau menyifatkan keputusan JTK sebagai satu preseden penting bahawa walaupun syarikat besar, mereka tetap boleh diheret ke muka pengadilan apabila pekerja bersatu dan menuntut keadilan.
Dalam pada itu, Tenaganita turut menggesa kerajaan memastikan bayaran dibuat tanpa sebarang kelewatan selain memperkenalkan reformasi menyeluruh dalam sistem pengambilan pekerja migran bagi mencegah penyalahgunaan yang berterusan.
Pertubuhan itu turut mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil langkah proaktif mengesan pekerja lain yang mungkin turut menjadi mangsa dan memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
“Keadilan untuk pekerja migran tidak boleh lagi menjadi pengecualian. Ia mesti dijadikan standard baharu dalam sistem keadilan buruh negara ini,” tegas Glorene.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!