65 warga emas rugi lebih RM3 juta ditipu sindiket tawaran kerja

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sindiket penipuan tawaran pekerjaan yang menyasarkan golongan warga emas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 65 warga emas telah menjadi mangsa 'job scam' melibatkan kerugian mencecah RM3,063,239.94 pada tahun ini setakat 2 Februari.

"Analisis tiga tahun sejak 2022 bagi kes-kes penipuan tawaran pekerjaan dalam kalangan warga emas (60 tahun ke atas) mendapati wujud peningkatan yang signifikan.

"Misalnya, pada 2022, hanya 30 warga emas dilaporkan menjadi mangsa 'job scam' melibatkan nilai kerugian RM1,019,414.67," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ramli berkata, namun, jumlah mangsa dalam golongan itu meningkat kepada 66 orang pada 2023 dengan kerugian RM6,590,684.56.

"Jumlah itu meningkat lebih 100 peratus kepada 152 orang dengan jumlah kerugian RM22,177,300.18 pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, perkembangan ini merupakan petanda penglibatan warga emas sebagai mangsa dalam kes-kes 'job scam' adalah membimbangkan.

"Justeru, golongan warga emas diingatkan sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan 'job scam' dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pekerjaan sambilan secara dalam talian khususnya apabila ia memerlukan anda membuat bayaran terlebih dahulu sebelum memperoleh keuntungan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, pihaknya menyeru agar informasi jenayah komersial khususnya modus operandi penipuan dalam talian dapat dikongsikan kepada warga emas khususnya ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga dan sebagainya.

"Setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan selaku penyebar mesej kesedaran jenayah komersial agar kita dapat membentuk satu komuniti yang selamat dan terhindar daripada menjadi mangsa scammer," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!