143 mesin bitcoin dirampas, empat lelaki ditahan

SEPANG – Polis menahan empat lelaki tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti melombong mata wang digital secara haram dengan mencuri bekalan elektrik di daerah ini menerusi Ops Khas di lima lokasi berasingan di Bandar Baru Salak Tinggi dan Putra Perdana pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu dipercayai berperanan sebagai penjaga premis perlombongan.
“Hasil daripada serbuan, kita telah merampas sebanyak 143 mesin perlombongan bitcoin serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti perlombongan mata wang digital dengan nilai rampasan dianggarkan RM171,600,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, pada Isnin.
Beliau berkata, Ops Khas tersebut diketuai oleh beliau sendiri bersama pegawai dan anggota IPD Sepang dengan kerjasama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Siasatan awal mendapati pihak TNB mengalami kerugian kira-kira RM86,089.10 sebulan, manakala jumlah keseluruhan kerugian bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 dianggarkan mencecah RM516,534.60,” jelasnya.
Menurut beliau, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kita telah membuka lima kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.
Norhizam turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perlombongan mata wang digital secara haram atau penyambungan elektrik tanpa kebenaran agar tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline IPD Sepang di 03-87774222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
