Polis tahan tukang kebun disyaki terlibat kes ragut

Suspek menyerang dan melarikan beg silang milik seorang wanita di Pasar Pagi Medan Mahkota, Kangar pada Ahad.
Suspek menyerang dan melarikan beg silang milik seorang wanita di Pasar Pagi Medan Mahkota, Kangar pada Ahad.
A
A
A

KANGAR - Polis menahan seorang tukang kebun yang disyaki terlibat dalam kes ragut melibatkan mangsa seorang wanita berusia 49 tahun di tempat letak kereta Pasar Pagi Medan Mahkota, di sini pada Ahad. 

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, suspek lelaki berumur 37 tahun telah menyerang dan melarikan beg silang milik mangsa yang ketika itu berada di tepi tandas awam di kawasan berkenaan.

"Orang awam yang menyedari kejadian itu bertindak menahan suspek sebelum dua anggota polis unit ronda bermotosikal tiba di lokasi dan membuat tangkapan.

"Wanita yang bekerja sebagai pengurus jualan itu mengalami luka pada kedua-dua lututnya dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad. 

Yusharifuddin berkata hasil siasatan awal, lelaki itu dipercayai meragut beg mangsa kerana terdesak memerlukan wang.

"Tangkapan iturut membawa kepada rampasan termasuk sebilah pisau, telefon bimbit, dompet dan wang tunai dipercayai milik mangsa, iaitu RM1,000, AS$250 (RM1,061) serta 10,570 baht (RM1,385)

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar esok bagi permohonan reman," tambahnya. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!