Buruh Bangladesh didakwa pandu melulu sebabkan kematian pejalan kaki

Mahkamah benarkan jamin RM20,000 dengan syarat tambahan termasuk serah pasport. Foto hiasan
Mahkamah benarkan jamin RM20,000 dengan syarat tambahan termasuk serah pasport. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang buruh warga Bangladesh yang tular dalam kemalangan di Jalan Ipoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu kereta secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki, empat hari lalu.

Tertuduh, Atique Zaman, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Bangladesh di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memandu kereta jenis Nissan Sylphy 2.0 CVTC secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Redzuan Jamal, 46.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Jalan Ipoh, di hadapan Masjid Abu Hurairah Kampung Batu, dari arah Sentul ke Jinjang, pada jam 11.49 pagi, 13 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000. Jika sabit kesalahan, tertuduh juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang daripada lima tahun.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Hassan tidak mencadangkan jaminan diberikan memandangkan tertuduh merupakan warganegara asing.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak kami mencadangkan jumlah tidak kurang daripada RM20,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan.

“Kami juga mohon agar tertuduh diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu keluarga mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Muhammad Affendy Mohd Yusop yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan anak yang berusia satu tahun 10 bulan.

“Selain itu, tertuduh juga mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk akibat insiden tersebut.

“Kami bersedia menyediakan dua penjamin warganegara Malaysia dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dicadangkan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan. Tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh dilarang mengganggu keluarga mangsa dan saksi pendakwaan, manakala lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang pejalan kaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian turut membabitkan sebuah Toyota Camry yang dipandu seorang wanita warga Vietnam berusia 43 tahun dari arah Batu Kentonmen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!