[VIDEO] Lelaki didakwa edar dadah, sebabkan kematian dua wanita
TEMERLOH – [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai khidmat pelanggan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh pada Rabu atas empat pertuduhan iaitu memiliki dan mengedar dadah serta memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua wanita di lampu isyarat di sini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Chun Kok Keong, 38, didakwa memiliki dadah berbahaya jenis heroin seberat kira-kira 0.85 gram di hadapan lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 12 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 1998) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Tan Chiew King selepas ia dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa di lokasi dan waktu sama kerana mengedar dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 50.85 gram.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 15 sebatan, jika tidak dihukum mati.
Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan tersebut kerana kes di bawah Seksyen 39B berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin dan Siti Sarah Aqilah Lokman, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Fatimah Mohd Shahril.

Dalam rayuan yang dikemukakan oleh peguam bela, tertuduh yang masih bujang dilaporkan perlu menanggung ibu bapanya yang uzur dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.
Majistret kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan memiliki dadah, namun tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin untuk pertuduhan mengedar dadah.
Mahkamah menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan pelantikan peguam.
Sementara itu, di mahkamah sama, Kok Keong turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua wanita dalam satu kemalangan pada 11 Jun lalu, kira-kira jam 10.50 malam di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung bermula Selasa lalu sehingga kes selesai.
Kes tersebut akan disebut semula pada 17 Julai depan untuk serahan dokumen dan pelantikan peguam.
Sebelum ini, dua wanita, Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kereta dipandu tertuduh ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

