'Syukur saya boleh terus jaga anak di Malaysia' - Lelaki Bangladesh

Mohammad Ala Uddin bersyukur kerana boleh terus tinggal di negara ini menjaga anaknya, Siti Aminah.
Mohammad Ala Uddin bersyukur kerana boleh terus tinggal di negara ini menjaga anaknya, Siti Aminah.
A
A
A

SEREMBAN – Seorang lelaki warga Bangladesh meluahkan rasa lega apabila dibenarkan untuk terus menetap di negara ini bagi menjaga anak perempuannya yang merupakan warganegara, selepas permohonannya mendapatkan Pas Lawatan Sosial (PLS) jangka panjang diluluskan.

Mohammad Ala Uddin, 35, sebelum ini menghadapi kesukaran membuat permohonan tersebut susulan kematian isterinya yang merupakan warganegara Malaysia, bulan lalu.

“Alhamdulillah… hati saya tenang sekarang kerana saya boleh terus jaga anak saya di sini.

“Kalau tiada bantuan, memang saya tak mampu nak selesaikan masalah ini kerana saya tak tahu apa-apa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas dikunjungi Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dan jawatankuasa surau di rumahnya di Taman Sri Mawar 1 di sini pada Sabtu.

Mohammad Ala Uddin turut meluahkan rasa syukur kerana ditemukan dengan individu yang baik hati di negara ini yang sudi membantunya.

Tambahnya, fokus utama selepas ini adalah memastikan kebajikan anak tunggalnya, Siti Aminah, 7, yang juga orang kurang upaya (OKU) mendapat pendidikan terbaik.

Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed, merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen Putrajaya yang membantu memudahkan urusan dua beranak ini selepas kes tersebut mendapat perhatian media.

“Saya akui dalam menguruskan masalah dua beranak ini, kami menerima pelbagai kritikan memandangkan lelaki ini adalah warga asing.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi fokus kami adalah terhadap masa depan anaknya yang merupakan warganegara, apatah lagi dia seorang kanak-kanak OKU yang mempunyai pelbagai penyakit kronik,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu kini tidak perlu lagi bimbang untuk tinggal di negara ini kerana telah memperoleh Pas Lawatan Sosial (Duda kepada Warganegara), yang boleh diperbaharui setiap tahun tanpa perlu pulang ke negara asal.

“Selepas ini, persatuan akan cuba mencari ruang bantuan lain bagi menyokong sara hidup dua beranak berkenaan, khususnya berkaitan rawatan anaknya yang mengalami masalah pernafasan.

“Terima kasih juga kepada KRT dan jawatankuasa surau yang turut membantu serta prihatin terhadap nasib bapa tunggal ini,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kerisauan Mohammad Ala Uddin mengenai masa depan anaknya sekiranya beliau terpaksa meninggalkan negara ini kerana Pas Lawatan Sementara miliknya hampir tamat tempoh.

Beliau telah merancang untuk memohon PLS jangka panjang, namun belum sempat menghantar borang permohonan, isterinya meninggal dunia, sekali gus menyukarkan urusan kerana beliau tidak fasih berbahasa Melayu dan perlu menguruskan anak istimewanya seorang diri.

“Saya bimbang kalau saya ditahan atau perlu balik ke negara asal, macam mana dengan masa depan anak saya?

“Anak saya warganegara, jadi apa pun yang terjadi saya mahu terus tinggal di sini dan pastikan dia dapat pendidikan terbaik,” katanya.

Sementara itu, kakak angkatnya, Fadzilah Abd Latif, 35, berkata arwah isteri Mohammad Ala Uddin pernah meluahkan kebimbangan kerana suaminya tidak mempunyai visa tetap untuk tinggal di sini.

“Selama ini, dia perlu berulang-alik ke negara asal untuk memperbaharui pasport.

“Tetapi Alhamdulillah, dia kini boleh tinggal di negara ini menggunakan PLS,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!