Buat laporan polis jika peniaga belum dapat deposit tapak bazar batal - Datuk Bandar Seremban

Masri menyerahkan lesen kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan.
Masri menyerahkan lesen kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan.
A
A
A

SEREMBAN – Peniaga yang belum mendapat semula wang deposit tapak Bazar Aidilfitri Dataran Senawang daripada penganjur yang dibatalkan sebelum ini dinasihatkan supaya membuat laporan polis.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Baharuddin berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu sebelum ini, namun masih belum dapat dipastikan jumlah peniaga yang terlibat.

"Saya juga telah berhubung dengan Ketua Polis Negeri Sembilan supaya memberi perhatian terhadap laporan yang dibuat oleh peniaga-peniaga ini.

"Cumanya saya minta peniaga yang terlibat supaya sertakan sekali bukti dokumen berkaitan apabila membuat laporan bagi memudahkan tindakan lanjut diambil," katanya ditemui selepas menyerahkan lesen dan apron kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan di sini pada Khamis.

Menurutnya, sekiranya penganjur didapati enggan mengembalikan wang terbabit, pihaknya akan menggunakan wang deposit mereka yang dibayar kepada MBS untuk dibayar kepada peniaga.

Masri menyerahkan lesen kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan.
Masri menyerahkan lesen kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan.

Bagaimanapun katanya, terdapat penganjur yang bertanggungjawab apabila membuka kaunter di MBS bagi memudahkan urusan berkenaan.

Selain itu beliau berkata, bagi memastikan kelancaran operasi perniagaan di bazar terbabit, pihaknya akan menempatkan pegawai di situ sepanjang bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Berkenaan parkir pula, ada pengusaha yang dilantik untuk menguruskannya," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, MBS mengambil alih sepenuhnya pengurusan Bazar Aidifitri di Dataran Senawang tahun ini selepas membatalkan pelantikan empat penganjur kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan, manakala seorang lagi menarik diri disebabkan tidak mampu menguruskan bazar dengan baik.

Sementara itu, Masri menasihatkan para peniaga Bazar Ramadan supaya mematuhi peraturan ditetapkan terutama menjaga kebersihan.

"Peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan akan dikenakan kompaun dan secara keseluruhan terdapat 80 Bazar Ramadan di bawah MBS yang melibatkan lebih 500 peniaga," katanya.

Ringkasan AI

  • Peniaga Bazar Aidilfitri Dataran Senawang disarankan membuat laporan polis jika tidak dapat semula wang deposit
  • Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin mengesahkan aduan telah diterima
  • Peniaga diminta sertakan bukti dokumen bila buat laporan untuk memudahkan tindakan
  • MBS akan guna wang deposit penganjur untuk bayar balik peniaga jika perlu
  • MBS mengambil alih pengurusan Bazar Aidilfitri Dataran Senawang sepenuhnya tahun ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!