'Jangan terus hukum bapa Siti Aminah hanya kerana dia warga Bangladesh'

Laporan Sinar Harian berkenaan resah hati Mohammad Ala Uddin dengan keadaan masa depan anaknya. Gambar kecil: Zulkifli
Laporan Sinar Harian berkenaan resah hati Mohammad Ala Uddin dengan keadaan masa depan anaknya. Gambar kecil: Zulkifli
A
A
A

SEREMBAN - Masyarakat sewajarnya tidak menghukum bapa kepada seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) tanpa rahim, Mohamad Ala Uddin, hanya kerana beliau merupakan warga Bangladesh.

Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed berkata, keterbukaan pihaknya untuk membantu lelaki terbabit adalah kerana anaknya yang berusia tujuh tahun merupakan warganegara Malaysia yang sah.

“Saya berasa sedih apabila membaca komen-komen negatif warganet selepas berita mengenai kebimbangan lelaki ini terhadap masa depan anaknya yang merupakan warganegara selepas isterinya meninggal dunia baru-baru ini.

“Kalau dilihat komen-komen tersebut, ramai yang menyarankan agar dia membawa anaknya pulang sahaja ke negara asal.

“Hanya kerana dia warga Bangladesh, adakah kita tidak boleh membantu anaknya yang merupakan warganegara? Apatah lagi dia baru kehilangan isterinya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, jika Mohamad Ala Uddin berasal dari negara Eropah, kemungkinan kecaman yang diterimanya tidak akan seteruk ini.

Ia sekali gus, kata Zulkifli, menggambarkan sikap dan mentaliti masyarakat yang berat sebelah.

“Saya lihat jika seseorang itu warga Bangladesh atau Indonesia, masyarakat cenderung memberi reaksi negatif berbanding jika individu tersebut dari negara Barat.

“Sepatutnya kita perlu fokus kepada penyelesaian sesuatu kesulitan, bukan menghukum berdasarkan latar belakang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata terdapat beberapa individu yang telah menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk membantu Mohamad Ala Uddin, termasuk membayangkan mahu mengambil anaknya sebagai anak angkat.

“Bersedia menghulurkan bantuan adalah amalan positif yang boleh membentuk masyarakat yang prihatin dan penyayang.

“Tetapi masyarakat diharap memahami bahawa isu sebenar yang dihadapi lelaki itu adalah untuk mendapatkan Pas Lawatan Jangka Panjang suami kepada warganegara, dan kini kita sedang dalam proses menguruskannya dengan bantuan adik arwah,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keresahan hati Mohamad Ala Uddin mengenai masa depan anaknya, Siti Aminah, selepas isterinya, Allahyarhamah Nur Shaillah Revathy Abdullah, 35, yang merupakan warganegara, meninggal dunia.

Beliau bimbang sekiranya dirinya ditahan atau perlu pulang ke negara asal sedangkan anaknya adalah warganegara Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!