'Tak sempat pakai baju raya ‘rich brown’ bersama'

MELAKA - Ramadan kali ini disambut penuh kesayuan buat Siti Hasmah Abdul Hamid, 43, serta empat anaknya selepas kehilangan suami dan bapa tercinta seminggu sebelum menyambut bulan mulia itu akibat kemalangan jalan raya.
Dalam kejadian 10 Februari lalu, mangsa, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, maut selepas sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki dipercayai mengalami ‘microsleep’ merempuh lima kenderaan lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru.
Ketika kejadian, mangsa yang juga peniaga kedai makan dalam perjalanan untuk mengambil anak OKU pulang dari sekolah.
Siti Hasmah berkata, kehilangan arwah suami amat dirasai kerana selain menjalankan tugas sebagai pencari nafkah, arwah turut menguruskan anak-anak termasuk mengambil dan menghantar mereka ke sekolah.
“Dia tulang belakang keluarga dan mengambil tanggungjawab dalam semua urusan rumah tangga. Tak pernah sekali pun dia merungut, dia buat dengan ikhlas apa saja untuk anak-anak.
“Kehilangan arwah bukan hanya dirasai saya seorang, malah anak-anak juga. Anak bongsu tanya siapa yang akan menghantarnya ke sekolah memandangkan sebelum ini arwah yang menguruskan segala keperluannya,” katanya sebak.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka di kediamannya di Kampung Solok Bukit Baru, Duyong, baru-baru ini.
Siti Hasmah yang juga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berkata, menjelang Ramadan, kebiasaannya kedai makan yang diusahakan suaminya tidak akan beroperasi, sebaliknya akan mengambil tempahan ketupat palas bagi menambah pendapatan keluarga.
“Selalunya arwah akan bersungguh menyediakan beras dan kelengkapan untuk tempahan ketupat palas, tetapi tahun ini ada sesuatu yang berbeza. Nampak dia kurang bersemangat.
“Tak sangka Ramadan tahun lalu adalah yang terakhir kami bersama,” kata ibu kepada empat anak berusia antara 10 hingga 18 tahun itu.
Lebih memilukan katanya, hasrat untuk memakai baju sedondon berwarna ‘rich brown’ yang telah dibeli awal bagi menyambut Aidilfitri pada kali ini tidak kesampaian.
“Saya beli awal supaya tak kelam-kabut. Saya masih belajar menerima takdir kehilangan tempat bergantung.
“Saya tak tahu macam mana nak bangun sepenuhnya, tetapi saya sedang belajar untuk reda. Anak-anak perlukan saya. Demi mereka, saya kena kuat,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Sementara itu, seorang pekerja dalam bidang logistik, Ng Chun Twan,35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian mangsa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000.
Sabitan juga boleh menyebabkan tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 2 April depan dan membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, selain lesen memandu tertuduh ditahan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Ringkasan AI
- Siti Hasmah Abdul Hamid dan empat anaknya berduka kerana kehilangan suami dan bapa akibat kemalangan jalan raya seminggu sebelum Ramadan
- Mohd Shahrol Anuar maut ketika dalam perjalanan mengambil anak OKU dari sekolah akibat dilanggar oleh pemandu yang mengalami 'microsleep'
- Arwah suami merupakan tulang belakang keluarga, bertanggungjawab dalam urusan harian dan nafkah keluarga
- Siti Hasmah menyatakan kehilangan motivasi suaminya dalam persiapan untuk Ramadan tahun ini, menandakan sesuatu yang berbeza
- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu berbahaya yang menyebabkan kematian Mohd Shahrol, dengan hukuman yang boleh mencapai penjara hingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

