Bekas jaguh badminton paralimpik nafi jual 30 koleksi Mercedes-Benz kerana desakan hidup

MELAKA - Bekas jaguh badminton paralimpik negara menafikan niat melepaskan 30 koleksi Mercedes-Benz yang dikumpul sejak 1995 disebabkan desakan hidup.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, Jasmi Md Tegol, 58, berkata, beliau menjual kereta tersebut kerana kesihatannya mula merosot akibat terjatuh di bilik air yang kini menyukarkan pergerakan dan kudratnya untuk menguruskan kenderaan berkenaan.
“Selepas terjatuh dalam bilik air, saya mula bertongkat. Walaupun saya OKU tapi dulu saya tak bertongkat dan berjalan seperti biasa.
“Kos penyelenggaraan masih boleh ditampung, cuma apabila sudah bertongkat, pergerakan saya terbatas dan sukar untuk saya urus semua kereta setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian.
Jasmi mengalami masalah polio pada kaki kanan yang dikesan sejak usianya setahun setengah, namun keadaan fizikalnya itu tidak menghalang bapa kepada 12 anak tersebut untuk mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa.
Kejohanan pertama yang disertainya berlangsung di Busan, Korea, namun ketika itu beliau hanya mara ke peringkat suku akhir disebabkan faktor cuaca serta kurang pengalaman.
Beliau kemudian menyertai kejohanan di Thailand dan memperoleh pingat perak sebelum penyertaan ketiganya di Chinese Taipei menyaksikan beliau muncul juara dunia.
Berkongsi lanjut, beliau memaklumkan pernah memiliki 38 kereta, namun tujuh daripadanya telah dijual.

Terbaharu, dua lagi kereta sudah mempunyai pembeli dan seorang daripadanya merupakan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) yang memilih untuk membeli kereta lama berusia 37 tahun, model Mercedes-Benz W126 kerana mempunyai nilai sentimental selain nombor pendaftaran yang menarik, PBT16.
Kereta itu dibeli secara terpakai pada harga RM18,000 dan kini dijual pada harga RM34,500, manakala sebuah lagi kereta Mercedes-Benz W210 E320, dijual kepada seorang kontraktor dari Melaka dengan harga RM10,500.
Jasmi berkata, selepas tular berita beliau ingin melepaskan koleksi kereta, timbul kekeliruan di media sosial apabila ada yang beranggapan beliau mahu memberikan kereta kesayangan itu secara percuma.
“Ada yang menghubungi saya memaklumkan mahu ambil sehingga dua buah kereta. Saya pelik kenapa mahu ambil banyak, rupa-rupanya timbul salah faham. Mereka ingat saya mahu beri percuma, sedangkan saya mahu jual, bukan beri secara percuma.
“Saya memang tak berniat untuk beri percuma kerana kereta klasik ini daripada keadaan buruk kami baiki sehingga orang pandang. Semua itu perlu kos untuk membaiki, mengecat semula dan memasang rim sukan. Jadi memang tidaklah untuk diberi percuma. Kena beli. Kalau rugi sedikit tidak mengapa, asalkan ada proses jual beli,” ujarnya.
Jasmi berkata, beliau tidak sewenang-wenangnya menjual kereta kesayangan, sebaliknya memilih pembeli berpotensi yang mampu menyelenggara kenderaan tersebut dengan baik.

“Sebenarnya ramai yang berminat membeli, tetapi saya lihat juga situasi. Kalau bukan pembeli berpotensi, saya tak sampai hati nak serahkan, contohnya jika ada pengawal keselamatan yang mahu membeli.
“Sebab kos penyelenggaraan agak tinggi. Kalau dia beli nanti seperti aniaya dia pula kerana terpaksa tanggung kos pembaikan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, minat mengumpul kereta klasik timbul kerana dilahirkan dalam keluarga miskin dan bercita-cita memiliki kenderaan tersebut, namun tidak berkemampuan ketika itu.
“Bila tengok orang pakai kereta Mercedes semasa kecil, timbul niat untuk memilikinya. Selepas bekerja, kereta pertama saya ialah model W115. Ketika itu saya dikutuk rakan-rakan kerana orang lain beli Proton Wira dan Iswara yang sedang popular sekitar tahun 1994 tapi saya beli Mercedes W115,” katanya.
Dari situ katanya, minatnya semakin bertambah dan beliau melihat kereta Mercedes-Benz boleh dijadikan sumber pendapatan.
“Kalau kita jaga elok-elok, ada orang berminat, saya jual dan ada keuntungan. Keuntungan itu saya tambah lagi untuk beli kereta lain. Bagaimanapun sekarang sudah sampai masa untuk melepaskannya kerana anak-anak pun tak berminat,” katanya.
Dalam pada itu, Jasmi turut meluahkan kekesalan terhadap komen negatif yang diterima selepas minatnya mengumpul kereta lama dikaitkan dengan kekayaan.
“Selepas tular, ramai yang kecam dan persoalkan sama ada saya sudah bayar zakat atau belum. Saya jawab, saya bayar. Koleksi kereta saya bukan bernilai ratusan ribu seperti kereta mewah lain, tetapi kereta lama yang dibeli pada harga murah.
“Lima kereta saya mungkin bersamaan harga sebuah kereta baharu di pasaran. Cuma bila orang nampak lambang Mercedes, persepsi mereka kereta mahal, sedangkan sebenarnya kereta lama yang dibeli kerana minat dan nilai sentimental,” luahnya.

Ujarnya, terdapat kereta yang dibeli pada harga hanya RM8,000 dan untuk mencantikkannya beliau mengecat semula kenderaan itu serta mengubah suai mengikut kemampuan.
“Saya cat kereta dengan kenalan lama, jadi harganya boleh dirunding. Begitu juga mekanik yang datang ke rumah, tak perlu ke bengkel. Ada juga situasi saya tukar kereta secara suka sama suka. Pernah saya bertukar dengan seorang jutawan dari Pulau Pinang yang benar-benar mahukan Volvo Wagon milik saya kerana model itu sudah tiada dalam pasaran Malaysia.
“Dia tawarkan kereta bernilai RM85,000 kepada saya, namun selepas berbincang dengan rakan-rakan rapat, mereka berpendapat pertukaran itu tak adil walaupun dibuat secara tukar ganti.
“Jadi saya tambah dua lagi kereta model W124 dan turut beri model W123 kepadanya. Saya tak mahu ada yang kata saya menipu dan saya juga tak rasa serba salah. Jadi walaupun menggunakan sistem barter, pertukaran itu tetap adil dan saya tak keluarkan wang walau satu sen pun,” katanya.
Ringkasan AI
- Jasmi Md Tegol, 58, guru SMK Lubok China, mengumpul kenderaan sejak 1995
- Bekas jaguh badminton paralimpik negara itu ingin menjual 30 koleksi Mercedes-Benz kerana kesihatan merosot akibat insiden terjatuh di bilik air
- Beliau memiliki masalah polio pada kaki kanan sejak usia setahun setengah tetapi berjaya mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa
- Minat mengumpul Mercedes-Benz bermula dari kecil kerana dilahirkan dalam keluarga miskin dan tidak berkemampuan memiliki kereta tersebut
- Koleksi kereta bukannya bernilai ratusan ribu tetapi dibeli kerana minat dan nilai sentimental, serta sudah menjalani proses penyelenggaraan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

