'Kalau saya diusir, siapa jaga anak OKU saya'

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Masa depan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) tanpa rahim kini berada dalam keadaan samar selepas ibunya meninggal dunia akibat sakit jantung pada Ahad lalu.
Kanak-kanak itu, Siti Aminah Mohammad Ala Uddin, 7, kini hanya bergantung hidup kepada bapanya, seorang warga Bangladesh yang memegang Pas Lawatan Sementara (PLS) sah sehingga 27 Mei ini.
Bagaimanapun, Siti Aminah dan ibunya, Allahyarham Nur Shaillah Revathy Abdullah, 35, adalah warganegara Malaysia.
Menurut bapanya, Mohammad Ala Uddin, 35, dia memasuki negara ini pada tahun 2015 sebagai pekerja asing sebelum berkahwin dengan Allahyarham pada tahun 2017.
“Kami berkahwin di Thailand, tetapi sebaik pulang ke Malaysia, kami daftarkan perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
“Setahun kemudian, Siti Aminah dilahirkan. Sepanjang berada di sini, saya bekerja di kilang secara sah, tetapi berhenti pada tahun 2023,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas dikunjungi Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dan jawatankuasa surau di rumahnya di Taman Sri Mawar 1 di sini pada Sabtu.
Sejak itu, beliau hanya mengambil upah memotong rumput atau melakukan kerja sambilan yang sesuai untuk menyara keluarga.
Katanya, dia pernah cuba memohon status warganegara menerusi bantuan seorang individu, namun ditipu sebanyak RM8,500.
“Sekarang saya susah hendak bekerja dan baru pulang ke sini pada 28 April lalu untuk memohon PLS jangka panjang sebagai suami kepada warganegara.
“Tapi belum sempat hantar permohonan, isteri pula meninggal dunia Ahad lepas,” katanya.
Keadaan itu meletakkan beliau dalam situasi sukar kerana tidak fasih berbahasa Melayu dan terpaksa menguruskan anak istimewanya seorang diri.
“Saya bimbang kalau saya ditahan atau perlu balik ke negara asal, macam mana dengan masa depan anak saya?
“Anak saya warganegara, jadi apa pun yang terjadi saya mahu terus tinggal di sini dan pastikan dia dapat pendidikan terbaik,” ujarnya.

Menurut Mohammad Ala Uddin lagi, anaknya bukan sahaja OKU fizikal dengan keadaan tangan bengkok dan tanpa rahim, tetapi turut mempunyai satu buah pinggang dan masalah pendengaran.
Sementara itu, Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed berkata, pihaknya akan membantu bapa tunggal itu untuk membuat permohonan pas lawatan sosial jangka panjang di Jabatan Imigresen Putrajaya dalam masa terdekat, demi masa depan anak yang berstatus warganegara.
“Empat tahun lalu PCRS pernah melawat keluarga ini selepas mendapat maklumat mengenai anaknya yang lahir tanpa rahim.
“Tapi ketika itu, isterinya masih ada dan tiada isu besar kerana arwah yang menguruskan segalanya,” katanya.
Beliau turut bimbang jika lelaki itu tinggal di sini tanpa dokumen sah, ia akan menjejaskan kebajikan dan kelangsungan hidup anaknya.
Tambah Zulkifli, lelaki itu kini juga terputus sumber pendapatan kerana tidak boleh bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima oleh anaknya sebanyak RM300 sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!